NIDZAM dilantik ketua jurulatih baharu pasukan FELDA United. FOTO/NSTP


KUANTAN: Mohd Nidzam Jamil dilantik ketua jurulatih baharu pasukan FELDA United FC, bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pengesahan perlantikan Nidzam - yang juga bekas pemain kebangsaan untuk mengemudi skuad The Fighters disahkan pengurus kelab itu, Mohd Nasir Embong. 

"Saya sahkan Nidzam yang bertindak selaku penolong jurulatih FELDA United musim ini diberi tanggungjawab selaku ketua jurulatih musim depan.  

"Berdasarkan pengalaman yang dimiliki Nidzam, kami percaya pasukan akan mampu mencapai keputusan terbaik terutama dalam menghadapi saingan Liga Super," katanya.

Nizam menggantikan B Sathianathan yang membuat keputusan meninggalkan The Fighters bagi musim 2019 selepas tidak berpuas hati dengan pemotongan gaji sehingga 60 peratus. 

Namun, dengan pengalaman yang dimiliki Nidzam sebagai penolong jurulatih dan pernah menyarung jersi Selangor, PKNS FC dan Negeri Sembilan, beliau dilihat calon terbaik untuk meneruskan perjuangan FELDA United. 

Musim ini, The Fighters muncul juara Liga Perdana sekali gus layak beraksi di Liga Super musim 2019.

Ditanya mengenai senarai pemain The Fighters musim depan,  Mohd Nasir berkata, pengurusan itu sudah mula menawarkan kontrak kepada pemain yang terpilih.

"Tidak semua pemain yang beraksi musim ini ditawar kontrak kerana musim 2019 bakal menyaksikan pasukan ini bakal dibarisi pemain FELDA sendiri terutama daripada skuad Piala Presiden. 

"Namun, kita masih lagi menawarkan beberapa pemain berpengalaman untuk kekal dalam skuad ini, tetapi terpulang kepada mereka sama ada bersetuju dengan tawaran diberikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 8:10 PM