ZAINAL ABIDIN HASSAN
ZAINAL ABIDIN HASSAN
Nazri Abu Bakar

MELAKA: Bekas pemain kebangsaan, Zainal Abidin Hassan bakal menandatangani kontrak membimbing skuad Melaka United (MU) bagi saingan Liga Malaysia musim 2019.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Farhan Ibrahim berkata, Zainal akan menandatangani kontrak itu dalam tempoh terdekat, selewat-lewatnya 18 November ini.

Beliau berkata, MUSA kini hanya menunggu lampu hijau dan pengesahan akhir daripada Ketua Menteri yang juga Presiden MUSA, Adly Zahari berhubung perkara itu.

“Pengalaman luas Zainal yang juga bekas pengendali skuad remaja kebangsaan, Pahang, Selangor dan Pulau Pinang mampu memberi impak terhadap cabaran pasukan mengharungi saingan musim depan.

“Buat masa ini, kontrak setahun diberikan kepadanya dan jika prestasi pasukan memuaskan, ia (kontrak) berkemungkinan akan disambung.

“Zainal adalah nama besar dalam kancah bola sepak negara sama ada sebagai pemain mahupun jurulatih.”

“Walaupun kurang berjaya membimbing pasukan Pulau Mutiara sebelum ini, namun kami tetap yakin dengan prestasi dan sumbangan bersama MU mampu untuk melonjak imej skuad ini,” katanya.

Sehubungan itu, MUSA akan memberi kerjasama kepada Zainal dalam semua aspek untuk memastikan kehadirannya mampu membina peningkatan berterusan pasukan sepanjang pengendaliannya kelak.

Pengumuman itu menamatkan spekulasi beberapa nama yang sebelum ini bermain di bibir peminat bagi menggantikan khidmat E Elavarasan.

Farhan berkata, pengendali terbabit juga dijangka membawa beberapa nama besar menyertai skuad Hang Tuah dalam membentuk cabaran terbaik buat MU.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 1:31 PM
Digital NSTP Subscribe