REUS diketepikan kerana kecederaan kaki. FOTO/AFP
AFP

BERLIN: Pemain tengah Borussia Dortmund, Marco Reus terpaksa diketepikan kerana kecederaan kaki ketika Jerman menjalani latihan hari ini menjelang aksi persahabatan menentang Russia.

Perancang tengah berusia 29 tahun itu mengalami kecederaan kaki dalam laluan menjaringkan dua gol ketika Dortmund menang 3-2 pada aksi Bundesliga ke atas juara bertahan Bayern Munich, Sabtu lalu.

Reus mempunyai sejarah diketepikan daripada tugasan bersama Jerman kerana cedera.

Koyak ligamen buku lali menyaksikannya tidak beraksi ketika kejayaan Piala Dunia 2014 di Brazil manakala kecederaan pangkal paha menyebabkannya digugurkan bagi kempen Euro 2016 di Perancis.

Bagi perlawanan menentang tuan rumah Piala Dunia 2018, Russia, jurulatih Jerman, Joachim Loew sudah kehilangan khidmat penyerang Schalke, Mark Uth, yang mengalami kecederaan kaki dan pemain sayap Paris Saint-Germain, Julian Draxler, yang digugurkan kerana kematian ahli keluarga.

Pemain tengah Real Madrid, Toni Kroos dijangka menyertai skuad itu hujung minggu ini bagi aksi Liga Negara Eropah di laman sendiri menentang Belanda di Gelsenkirchen, Isnin depan, perlawanan yang mana Jerman mesti menang jika mahu kekal dalam divisyen satu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 10:43 PM