COLE umum persaraan. FOTO/AGENSI
COLE umum persaraan. FOTO/AGENSI
AFP

LONDON: Bekas pemain tengah England, Joe Cole mengumumkan persaraannya hari ini selepas melakukan lebih 700 penampilan bersama tujuh kelab termasuk West Ham dan Chelsea.

Cole, yang menyambut hari jadi ke-37 minggu lalu berkata, kariernya “satu mimpi menjadi kenyataan” dan kini berharap untuk beralih menjadi jurulatih.

Kelab terakhirnya adalah Tampa Bay Rowdies dalam United Soccer League, liga divisyen dua di Amerika Syarikat.

Cole melakukan 716 penampilan profesional, menjaringkan 104 gol dengan tujuh kelab dan 56 aksinya bersama England turut termasuk tiga Piala Dunia.

Dia melakukan penampilan sulung antarabangsa pada usia 19 tahun apabila dia dikenal pasti sebagai bakat muda berpotensi cerah England di Hammers.

Cole sebahagian daripada skuad England yang dipanggil “Generasi Emas”, bermain di samping David Beckham, Wayne Rooney, Rio Ferdinand, Paul Scholes, Michael Owen dan Steven Gerrard, selain rakan sepasukannya di Chelsea, John Terry dan Frank Lampard.

Dalam satu kenyataan Cole berkata: “Selepas 20 tahun sebagai pemain profesional, sudah tiba masanya buat saya menggantung but. Ia satu mimpi menjadi kenyataan. Semuanya.

“Apa pun yang berlaku selepas ini, saya harap dua dekad berikutnya istimewa seperti 20 tahun terakhir saya sebagai pemain profesional.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 12:01 AM