COSTA cedera kaki. FOTO/AGENSI
AFP

MADRID: Penyerang Atletico Madrid, Diego Costa terpaksa diketepikan kerana kecederaan kaki sekali gus menyebabkannya bergelut dengan tahap kecergasan menjelang aksi penting liga menentang Barcelona.

Costa terhincut-hincut ketika menang 3-2 ke atas Athletic Bilbao dalam aksi liga Sabtu lalu, yang menyaksikan kelab ibu negara itu merapatkan kedudukan satu mata di belakang pendahulu liga Barcelona.

Pertahanan Atletico, Diego Godin meledak gol kemenangan pada aksi itu namun turut diketepikan selepas dia terhincut-hincut sebelum wisel penamat kerana kecederaan paha yang boleh menyaksikannya berehat selama sebulan.

Kini Costa menyertai pemain Uruguay itu dalam senarai kecederaan selepas mengalami “kecederaan di kakinya,” menurut kenyataan Atletico hari ini.

“Penyerang itu akan menjalani sesi latihan yang sesuai selain pemulihan fisioterapi serta rawatan perubatan,” menurut kenyataan itu, tanpa memberikan jangka masa dia boleh kembali beraksi.

Costa hanya kembali ke aksi kompetitif awal bulan ini selepas dua minggu berehat kerana “masalah otot” namun hanya bermain babak pertama menentang Bilbao apabila dia mengadu “sakit”, menurut jurulatih Atletico, Diego Simeone.

Simeone turut tanpa pemain yang cedera Thomas Lemar (paha) dan pertahanan Lucas Hernandez, Jose Maria Gimenez dan Stefan Savic.

Atletico menanti kunjungan Barcelona pada 24 November depan susulan rehat tugasan antarabangsa, kemudian menjadi hos kepada AS Monaco empat hari kemudian dalam usaha melayakkan diri ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 1:01 AM