SHAFIQ (tengah) tamatkan khidmat bersama Kelantan. FOTO/FAIL
Attirmidzie Rahman
sukanteam@nstp.com.my


KOTA BHARU: Pemenang Kasut Emas tempatan pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2018, Shafiq Shaharuddin mengesahkan menamatkan kontraknya bersama pasukan Kelantan musim ini.

Shafiq, 24 memuatnaik ucapan selamat tinggal dan penghargaannya kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) serta barisan kejurulatihan menerusi akaun peribadi Instagram pagi ini.

"Assalamualaikum, saya Shafiq Shaharuddin ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada KAFA kerana sudi menerima saya dalam keluarga The Red Warriors (TRW) untuk musim 2018.

"Terima kasih kepada Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, barisan pengurusan, barisan jurulatih, fisio, kitman dan pemain yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya selama di Kelantan," katanya.

Dalam entri sama, Shafiq turut menghargai dorongan dan semangat yang diberi peminat pasukan sepanjang bersama pasukan itu.

"Terima kasih juga kepada penyokong setia Kelantan Red Warriors (KRW) kerana sentiasa menyokong dan memberi semangat kepada Kelantan.

"Semoga kita berjumpa lagi di masa akan datang, Insya-Allah dan terima kasih semua keluarga Kelantan TRW," katanya.

Anak kelahiran Batu Pahat itu yang menyertai Kelantan musim ini mempamerkan aksi cemerlang apabila menjadi watak utama jentera serangan pasukan apabila menjaringkan enam gol pada musim ini.

Beliau sepatutnya masih bersama pasukan apabila kontraknya tamat pada penghujung tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 3:12 PM