Kevin (kanan) sahkan Felcra FC tarik diri. FOTO HM Digital
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Pendatang baharu, FELCRA FC terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Super selepas sah menarik diri musim depan.

Perkembangan itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Kevin menjelaskan, pengurusan FELCRA sudah mengemukakan surat rasmi mengenai penarikan diri mereka kepada badan pengelola liga itu selepas berakhirnya tempoh pengesahan pasukan, semalam.

“Kami sudah menerima surat penarikan rasmi daripada mereka jadi situasi ini menyebabkan ada satu kekosongan dalam slot Liga Super bagi musim depan.

“Dengan satu lagi pasukan dari Liga Perdana perlu dinaikkan ke Liga Super, ini bermakna turut ada kekosongan dalam Liga Perdana yang perlu diisi oleh beberapa pasukan tertakluk kepada kelayakan mereka.

“Bagi menentukan pasukan mana yang akan mengisi slot itu, kami perlu mengadakan perbincangan dengan Lembaga Pengarah MFL terlebih dahulu sebelum membuat keputusan,” kata Kevin.

Pengumuman itu sudah tentu memberi khabar buruk buat pemain dan pegawai ketika mereka begitu mengharapkan perkembangan positif berhubung masa depan.

Dalam perkembangan lain, FELCRA FC akan mengadakan sidang media di Setapak malam ini yang dijangka menyentuh mengenai penarikan diri pasukan itu secara lebih terperinci.

Terdahulu, Sukan NSTP melaporkan naib juara Liga Perdana musim ini dijangka terus beraksi musim depan meskipun dikejutkan dengan berita pembubaran pasukan sebelum ini.

Sumber berkata, pembubaran yang diumumkan sebelum ini berpunca daripada salah faham antara pengurusan tertinggi dan pengurusan pasukan mengenai sumber kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 3:31 PM