SALAH (kanan) meraikan gol kemenangan. FOTO/AFP
Reuters

JOHANNESBURG: Mohamed Salah menjaringkan gol kemenangan pada minit akhir perlawanan bagi membolehkan Mesir menewaskan Tunisia 3-2 sekali gus menamatkan rekod bersih Carthage Eagles dalam aksi kelayakan Piala Negara-Negara Afrika di Alexandria, awal pagi tadi.

Maghribi menewaskan Cameroon 2-0 di Casablanca dan hanya perlukan satu mata lagi untuk menempah tempat ke final tahun depan manakala pasukan kerdil Burundi hampir layak ke peringkat kelayakan buat pertama kali selepas menewaskan Selatan Sudan 5-2 di tempat lawan.

Mesir dan Tunisia telah pun layak terlebih dahulu selepas menduduki dua tangga teratas Kumpulan J tetapi aksi kedua-dua pasukan tetap ‘panas’ selepas kelab Tunisia Esperance menewaskan kelab Mesir, Al Ahly dalam final Liga Juara-Juara Afrika minggu lalu.

Naim Sliti menjaringkan gol pembukaan Tunisia pada minit ke-13 tetapi Mesir menyamakan kedudukan melalui Mahmoud ‘Trezeguet’ Hassan hasil rembatan yang terkena pertahanan lawan.

Tandukan Baher El Mohamady meletakkan Mesir di depan pada minit ke-59 tetapi Sliti menyamakan kedudukan buat pelawat untuk gol keduanya pada minit ke-72.

Perlawanan seakan berkesudahan seri sehinggalah Salah sekali lagi menjadi pemusnah saat akhir apabila menjaringkan gol pada minit ke-90 selepas mendapat hantaran daripada rakan sepasukan.

Tunisia kekal di tangga teratas dengan kedua-dua pasukan meraih 12 mata daripada lima perlawanan. Mesir kini menang empat perlawanan di bawah kendalian jurulatih baharu Javier Aguirre sejak tamat Piala Dunia lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 10:19 AM