Amiridzwan Taj (tengah, lima dari kanan) bersama Piya, Nizab Ayob, Rizal Fahmi Rosid dan Syihan Azmi mewakili Kelab Kapten Piya sempena perlawanan persahabatan amal dengan Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Kelantan (PBPBK) di stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. Foto Ihsan pembaca
Attirmidzie Rahman


KOTA BHARU: Bekas pertahanan Kelantan, Amiridzwan Taj Tajuddin mengesahkan menerima tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pemain kelahiran Kota Bharu itu yang mesra dipanggil Panjang itu berkata, setakat ini dia hanya menerima tawaran daripada PFA sahaja selepas kontraknya bersama Kelantan berakhir bulan ini.

Amiridzwan, 32, yang juga bekas pemain Angkatan Tentera Malaysia(ATM) dan PKNS Selangor memulakan karier dengan menyarung jersi UiTM FC sejak 2008  pernah merangkul kejuaraan piala berprestij seperti Piala FA bersama Kelantan pada 2015, Piala Sumbangsih (ATM-2013) dan Liga Perdana (ATM-2012).

"Setakat ini belum ada kata putus walaupun sudah mengadakan pertemuan minggu lalu bagi membincangkan perjalanan karier saya bersama PFA.

"Bagaimanapun, ia masih di peringkat perbincangan tetapi saya boleh berkata pertemuan itu positif," katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi selepas aksi persahabatan amal pasukan pilihan bekas kapten The Red Warriors (TRW) Mohd Badhri Radzi atau Piya dengan barisan legenda Kelantan.

Pasukan pilihan Piya dibarisi Norfarhan Mohamad, Daudsu Jamaludin, dan Mohd Qayyum Marjoni Sabil manakala pasukan Lagenda Kelantan diketuai bekas penjaring terbanyak Liga Malaysia 1993 dan 1994 Hashim Mustapa, Anuar Rajib dan Zamri Mohd Nor.

Dalam aksi persahabatan amal yang ditaja sepenuhnya oleh syarikat minuman pribiotik Yakult (M) Sdn Bhd itu, pasukan pilihan kapten Piya tewas 4-5.

Perlawanan amal ini bertujuan mengisi tabung kebajikan untuk anak-anak yatim di negeri ini.

Mengulas lanjut tawaran ke Perlis, Amiridzwan bersedia  untuk menerima lamaran itu kerana sedar peluang sebegini tidak harus dilepaskan.

"Apa yang saya fikir ketika ini adalah untuk membantu skuad Singa Utara dalam kancah Liga FAM musim depan, selain menyasarkan untuk membarisi kesebelasan utama pasukan.

"Pada masa sama, saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan seluruh peminat di negeri ini yang sentiasa memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi sepanjang mewakili Kelantan musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 3:31 PM