MFL ambil serius pengesahan pasukan dalam Liga Perdana kata Kevin. FOTO fail HM Digital
Zulfaizan Mansor


KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan hanya lapan pasukan yang sudah mengesahkan penyertaan untuk bersaing dalam kancah Liga Perdana musim depan.

Ia susulan nama MIFA dicadangkan untuk menggantikan FELCRA FC dalam Liga Super sementara UKM FC masih belum membuat pengesahan penyertaan untuk bertanding.

Setakat ini, MFL sudah menerima pengesahan dari Negeri Sembilan, Kelantan, MIFA, Johor Darul Ta’zim II (JDT II), PDRM, Sabah, Sarawak, UiTM FC dan Pulau Pinang.

Pasukan UKM sudah menghantar surat rasmi kepada MFL pada Khamis lalu bagi memohon penangguhan tempoh pengesahan penyertaan mereka sehingga 29 November ini.

Bagaimanapun, Lembaga Pengarah MFL memutuskan untuk tidak membenarkan penangguhan berkenaan dan UKM hanya boleh membuat rayuan dalam tempoh tujuh hari bekerja.

“Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan yang tepat. Pasukan harus mengambil serius mengenai pengesahan penyertaan ini.

“Malah, pasukan sudah diberi masa hampir satu bulan untuk berbuat demikian,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam semalam.

Berikutan itu, bagi memenuhi 12 slot pasukan bertanding, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mencadangkan empat pasukan dari Piala FAM akan dipromosikan ke saingan Liga Perdana.

Berdasarkan kelayakan, juara dan naib juara Piala FAM musim lalu, Terengganu City dan Selangor United layak secara automatik ke Liga Perdana musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 4:56 PM