ZVEREV meraikan kemenangan dengan bergaya.
Reuters

LONDON: Pemain Jerman, Alexander Zverev menyifatkan kejayaannya di ATP Final adalah mengejutkan selepas menumbangkan Roger Federer dan Novak Djokovic berturut-turut tanpa melepaskan sebarang set.

Selepas menewaskan juara 20 kali Grand Slam dari Switzerland, Federer di separuh akhir pada awal pagi semalam, pemain berusia 21 tahun itu mempamerkan persembahan mengejutkan menewaskan Djokovic, awal pagi tadi.

Dia mengenepikan cabaran Djokovic yang berada dalam prestasi terbaik dengan kemenangan 6-4, 6-3.

Zverev kini bergelar juara termuda sejak Djokovic melakukannya pada 10 tahun lalu dan menjadi pemain Jerman pertama menjulangnya sejak Boris Becker pada 1995.

Bahkan, dia juga muncul sebagai pemain keempat menewaskan Federer dan Djokovic berturut-turut di pentas separuh akhir dan akhir pada kejohanan yang sama.

DJOKOVIC (kiri) mengucapkan tahniah kepada Zverev. FOTO/REUTERS

Rafael Nadal pernah melakukannya sebanyak tiga kali, manakala Andy Murray dan David Nalbandian masing-masing sekali mencipta rekod ke atas dua pemain ternama berkenaan.

"Sudah pasti ia sesuatu yang mengejutkan, meraih kejuaraan, menewaskan dua pemain seperti mereka dengan berturut-turut di separuh akhir (Roger) dan final (Novak). Ia amat bermakna," kata Zverev.

"Saya amat gembira dan bangga ketika ini."

Djokovic mudah mengenepikan Zverev 6-4, 6-1 di peringkat kumpulan, namun selepas kejayaan menumbangkan Federer, pemain Jerman itu berada di tahap yang berbeza.

Zverev menjelaskan kekalahan kepada Djokovic pada awal pagi Khamis lalu menyebabkan dia mengambil pendekatan berbeza.

Semuanya dilakukan selepas berbincang dengan jurulatih Ivan Lendl – juara lapan kali Grand Slam yang membantu Murray meraih pelbagai kejuaraan utama.

"Beliau menganalisa perlawanan saya sejak beberapa hari lalu dan mengarahkan saya mengubah beberapa perkara.

“Saya lebih agresif hari ini," kata Zverev yang akan melonjak ke ranking keempat ATP penghujung tahun nanti.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 8:25 AM