NIGUEZ ketika menyarung jersi Tenerife. -Foto Agensi
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Pemain Sepanyol, Aaron Niguez menjadi pemain baharu kedua yang dibawa masuk juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi memperkasa pasukan itu menjelang saingan Liga Juara-Juara Asia musim depan.

Bekas pemain akademi Valencia itu akan mengisi kuota import skuad Harimau Selatan bersama pertahanan dari Brazil, Mauricio Nascimento yang menyertai pasukan itu bulan lalu.

Perkembangan itu diumumkan menerusi laman sosial Johor Southern Tigers, hari ini.

Dengan kebolehan beraksi di beberapa posisi seperti penyerang kedua, pemain tengah menyerang, sayap kiri dan sayap kanan, sudah tentu situasi itu dilihat memberi manfaat kepada JDT khususnya dalam usaha memberi cabaran di peringkat Asia serta meneruskan dominasi bola sepak tempatan.

Lebih menarik, pemain berusia 29 tahun itu mempunyai pertalian darah dengan bintang terkemuka dunia iaitu abang pemain tengah Atletico Madrid dan La Roja, Saul Niguez.

Sebagai rekod, sebahagian besar kariernya di Sepanyol menyaksikan dia beraksi buat Real Oviedo, Tenerife, Elche, Almeria, Recreativo de Huelva dan Celta Vigo namun pernah beraksi di luar negara seperti di Greece dan Scotland.

Dilahirkan di Elche, Aaron adalah produk daripada program pembangunan Valencia dan membuat penampilan pertamanya dalam pasukan utama pada Disember 2006 menentang kelab dari Itali, AS Roma dalam kempen Liga Juara-Juara.

Dia turut beraksi pada Kejuaraan Eropah bersama pasukan Bawah 17 tahun (B-17) Sepanyol dan berjaya menamatkan saingan sebagai penjaring keempat terbanyak dengan tiga gol.

Dia juga menjadi tonggak kepada muda Sepanyol yang memenangi Kejuaraan B-19 Eropah pada 2007 selepas menewaskan Greece 1-0 pada final.

Aaron membuat penampilan sulung bersama skuad B-21 Sepanyol pada November 2008 namun gagal membantu pasukannya yang tewas 1-4 pada aksi persahabatan menentang Portugal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 6:09 PM