SHAHREL ketika sesi latihan menjelang Piala AFF di Padang Sintetik Institut Semaran Felda, Bangi. -Foto AZIAH AZMEE
Farah Azharie


KUALA LUMPUR: Penyerang Shahrel Fikri Fauzi memiliki misi serampang dua mata apabila mengharungi kempen Piala AFF bersama skuad Harimau Malaya.

Dia bukan saja mahu membantu skuad negara melakar kejayaan sebaliknya turut berharap dapat mengikat kontrak dengan kelab Thailand jika beraksi baik dalam kejohanan yang kini berlangsung hingga 15 Disember depan.

Shahrel, 24, mendedahkan dia kini sedang dipantau dua kelab Thailand namun tidak mengetahui secara terperinci mengenai kelab itu memandangkan ejennya masih lagi berahsia.

“Jika saya bermain baik dalam Piala AFF, ada kemungkinan saya akan mendapat kontrak dengan kelab lain.

“Buat masa sekarang ada dua kelab Thailand yang sedang memantau persembahan saya dalam kejohanan ini, untuk diserapkan dalam pasukan mereka bagi musim 2019,” katanya.

Shahrel turut menjelaskan dia akan berpisah dengan kelab Liga Satu Thailand, Nakhon Ratchasima selepas beraksi setahun.

“Saya sedih kerana impian saya mahu bermain di luar negara tapi saya fikir nasib tidak menyebelahi saya.

“Buat masa sekarang, kelab Thailand itu tidak mahu melanjutkan kontrak saya kerana mereka mahu kuota ASEAN diisi oleh penyerang tulen. Saya bukan penyerang tulen tapi saya boleh beraksi dalam apa saja posisi menyerang,” katanya.

Andai pemain dari Perak itu gagal meraih kontrak dengan mana-mana kelab Thailand, dia akan kembali menyertai bekas kelabnya PKNP FC kerana masih memiliki kontrak hingga 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 9:27 PM