Farah Ann impi ke Tokyo. FOTO HM Digital
Farah Ann impi ke Tokyo. FOTO HM Digital
Jumiati Rosly


KUALA LUMPUR: Selepas menamatkan pengajian dengan menggenggam segulung ijazah, gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi kini mahu memberi tumpuan dalam persiapan menghadapi kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Sains Sosial (Pengajian Antarabangsa) dari Universiti Monash pada Isnin lalu, Farah berkata dia berhasrat untuk melayakkan diri ke Olimpik buat kali pertama selepas terlepas peluang pada temasya lalu di Rio 2016.

"Saya sangat berterima kasih kepada keluarga, guru dan rakan saya kerana dengan pertolongan serta dorongan mereka saya dapat menghabiskan pelajaran.

"Selepas majlis konvokesyen ini saya akan memberi fokus terhadap latihan dan pastinya misi saya melayakkan diri ke Olimpik dan mungkin juga menyambung pengajian selepas itu," katanya.

Gimnas berumur 24 tahun yang petah berbicara itu berkata, dia berhasrat untuk bekerja dalam bidang media dan mungkin menjadi jurulatih di masa hadapan.

Farah berkata, dia juga merancang  menyambung pengajian Master dalam bidang berkaitan media dengan kemungkinan tahun hadapan jika masa mengizinkan.

"Keutamaan saya pastilah kepada sukan dahulu buat masa ini," katanya.

Farah yang bergandingan dengan Tan Ing Yueh dan Tracie Ang menduduki tempat ke-37 dalam pusingan kelayakan acara berpasukan wanita pada Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia di Doha, Qatar pada 25 Oktober hingga 3 November lalu.

Kejohanan itu menjadi medan kelayakan pertama yang memberi tiket ke Sukan Olimpik 2020. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 2:38 PM