PEMAIN Arsenal mula berlatih awal pagi tadi. FOTO/AGENSI
Agensi

LONDON: Skuad Arsenal yang menjalani latihan di London Colney awal pagi tadi mempamerkan keazaman untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga Perdana sejak Ogos lalu dan menyasarkan untuk kembali ke kelompok empat teratas.

Kesungguhan mereka terserlah ketika sesi latihan dengan pemain Gunners bersemangat tinggi untuk meneruskan momentum kemenangan.

Pemain simpanan dan skuad remaja turut berlatih bersama kesebelasan utama sambil menunggu kepulangan rakan sepasukan terbabit dengan tugasan antarabangsa termasuklah Henrikh Mkhitaryan, Aaron Ramsey, Lucas Torreira, Stephan Lichtsteiner dan Granit Xhaka yang bersama Armenia, Wales, Uruguay dan Switzerland.

Beberapa tonggak lain seperti Alexandre Lacazette, Mesut Ozil, Pierre-Emerick Aubameyang, Hector Bellerin yang tidak terbabit dengan skuad kebangsaan masing masing kembali menjalani latihan sejak empat hari lalu.

Situasi itu menggembirakan pengurus Unai Emery yang skuadnya mempunyai masa rehat yang cukup dan bersedia kembali beraksi di Liga Perdana hujung minggu ini.

Arsenal berdepan tugas getir berkunjung Bournemouth pada Ahad ini sebelum terbang jauh ke Vorskla dalam aksi Liga Europa.

Selepas itu mereka berdepan cabaran besar menentang Tottenham di tempat sendiri dan Manchester United di tempat lawan.

Emery pastinya gembira jika Arsenal berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kesemua perlawanan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 10:44 AM