KARIM IBRAHIM
KARIM IBRAHIM
Jumiati Rosly


KUALA LUMPUR: Selepas hampir sembilan bulan tiada jawapan daripada Majlis Sukan Negara (MSN), Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berharap isu jurulatih badan induk itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

Presidennya, Datuk Karim Ibrahim berkata sejak mesyuarat jawatankuasa kerja (JKK) bersama MSN Februari lalu, badan induk itu sudah memohon supaya jurulatih luar dibawa masuk untuk meningkatkan lagi prestasi atlet dalam acara pecut, lari berhalangan dan jarak jauh.

"Sekarang ini isu jurulatih banyak yang belum selesai kerana kita mahu MSN menilai semula jurulatih luar yang ada dan membawa masuk jurulatih lain yang boleh berkongsi kepakaran bersama jurulatih tempatan.

"Ada jurulatih luar yang sudah berada lebih 10 tahun dengan gaji dalam RM13,000 tetapi malangnya tidak mahu berkongsi pengetahuan dengan jurulatih tempatan," katanya.

Tanpa mahu menamakan jurulatih terbabit, Karim berkata jurulatih luar yang sudah lebih 10 tahun berada di negara ini tidak dapat menghasilkan sebarang pingat di tahap Sukan Asia dan ia sangat merugikan.

"Kalau setakat peringkat Sukan SEA, saya rasa jurulatih tempatan kita sudah mencukupi dan terbukti atlet kita boleh memenangi pingat emas," katanya.

Beliau berkata, isu ini terpaksa ditangguhkan sehingga mesyuarat JKK seterusnya pada Januari depan.

"Kalau boleh kita mahu segerakan isu ini kerana Sukan SEA akan berlangsung tahun depan dengan kita harap dapat mengekalkan prestasi seperti edisi lalu di Kuala Lumpur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 4:24 PM