KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dato' Ahmad Shapawi Ismail. FOTO Owee Ah Chun
Azlan Muhammad Zain


KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) kecewa dan sedih mengenai isu terbaru yang melanda sukan angkat berat apabila lima atletnya digantung empat tahun susulan penggunaan bahan terlarang.

Malah, ia menimbulkan kebimbangan kepada MSN terhadap kemungkinan tindakan badan dunia terhadap Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) susulan isu doping yang berterusan membabitkan atlet negara.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan, insiden yang membabitkan segelintir atlet itu memberikan gambaran bahawa angkat berat tidak lari daripada penyalahgunaan bahan terlarang.

"Ia mengecewakan dan menyedihkan walaupun kita tahu masih terdapat atlet yang jujur dan tidak menggunakan bahan terlarang. Malangnya, mereka turut terkena tempias seolah-olah seekor kerbau membawa lumpur, semua habis terpalit," katanya.

Tambahnya, keputusan Lembaga Pengurus MSN yang menggugurkan mereka daripada sukan teras pada tahun lalu seolah-olah tidak memberikan pengajaran khususnya kepada mereka yang terbabit.

PABM hari ini menerusi satu kenyataan mengumumkan penggantungan empat tahun kepada lima atletnya susulan positif doping.

Ia termasuklah pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 Glasgow, Hafifi Mansor, pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Gold Coast, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad dan tiga atlet pelapis - Muhammad Hakimie Haikal Nordin, Muhamad Zaidi Mohd Nordin dan Ronny Jesos.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 9:04 PM