PENYERANG Atletico Madrid, Antoine Griezmann. FOTO Reuters
Reuters

BARCELONA: Hasrat Barcelona mendapatkan khidmat penyerang Atletico Madrid, Antoine Griezmann dianggap sebagai rahsia paling teruk dalam bola sepak musim lalu dan pemain Perancis itu akan berdepan kelab yang hampir disertainya itu pada aksi La Liga Sepanyol, Ahad ini.

Kejayaan Griezmann membantu Atletico meraih kemenangan ke atas Olympique Marseille pada final Liga Europa, Mei lalu dilihat sebagai perlawanan terakhirnya bersama skuad kendalian Diego Simeone sebelum berpindah ke Barcelona.

Namun, kelab itu berjaya memujuk pemain kebangsaan Perancis itu supaya terus kekal di Atletico.

Dia mendedahkan keputusan untuk kekal di Atletico dalam dokumentari televisyen terkenal ‘The Decision’ yang menimbulkan kemarahan Barca.

Ketua eksekutif Atletico, Miguel Angel Gil Marin memberi amaran kepada Griezmann, 27, mengenai kesan yang akan dihadapinya apabila menyertai kelab seperti Barcelona.

“Dia perlu memutuskan sama ada mahu mencipta sejarah di Atletico yang mana segala-galanya sudah dibina di sekelilingnya atau pergi ke kelab yang dia tidak pernah berada dalam sejarah,” kata Gil Marin.

Bagaimanapun, Griezmann bergelut dengan prestasi semasanya, memberikan persembahan terbaik ketika menang 2-0 ke atas Borussia Dortmund dalam saingan Liga Juara-Juara tetapi gagal memberi impak kepada pasukannya pada situasi sukar berdepan Villarreal, Leganes dan Celta Vigo.

Griezmann biasanya mempamerkan persembahan agresif dan kerja keras setaraf Diego Costa, yang persembahannya sedikit merosot selepas bergelut dengan kecederaan dan gagal menyumbang gol dalam saingan liga.

Kenaikan gaji pemain Perancis itu juga dikatakan faktor utama dia kekal di Atletico dan ia juga menyebabkan perasaan kurang senang Costa, berdasarkan laporan media Sepanyol.

Kekurangan gol Griezmann dalam saingan domestik tidak menghalang rakan sepasukan mencadangkan namanya sebagai pemenang anugerah Ballon d’Or - kerana kejayaannya membantu Perancis memenangi Piala Dunia.

“Bagi saya, dia berhak menerimanya,” kata pemain pertahanan Juanfran.

“Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo mempamerkan persembahan terbaik mereka namun tahun lalu Griezmann berada pada tahap terbaiknya dengan jaringan dan trofi. Jika anda membuat analisis, dia berhak memenanginya.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 1:01 AM