KEADAAN SSMZA. FOTO/NSTP
Malik Muhamad


KUALA TERENGGANU: Padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak bakal berubah wajah tidak lama lagi selepas mendapat peruntukan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Berita gembira buat peminat bola sepak Terengganu itu diumumkan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim selepas majlis menandatangani kontrak 10 pemain baharu skuad Terengganu FC (TFC) di pejabat PBSNT, semalam.

"Alhamdulillah MFL bersetuju memperuntukkan satu jumlah kepada PBSNT untuk memperbaiki padang di Terengganu dan kita sudah memilih SSMZA untuk dibaik pulih.

"Ini hasil kerjasama dan hubungan baik kita bersama Pengerusi MFL, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan kita berharap akan terus berkekalan demi pembangunan bola sepak negeri dan negara," ujar Hishamuddin.

SSMZA mampu memuatkan 50,000 penonton yang juga stadium terbesar di Pantai Timur siap dibina pada 2008 sempena Sukan Malaysia (SUKMA namun pada 2 Jun 2009 bumbung utama stadium yang menelan kos RM270 juta itu runtuh mengakibatkan hampir 50 peratus strukturnya musnah.

Mengenai kerjasama dengan kelab bola sepak dari luar negara bagi memperkasakan lagi skuad itu sebagaimana dilakukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Hishamuddin memaklumkan setakat ini PBSNT belum mengadakan sebarang kerjasama dengan kelab luar negara.

"Buat masa ini kita banyak belajar dengan JDT khususnya daripada sudut infrastruktur dan pembangunan bola sepak, insya-Allah PBSNT akan jalin kerjasama kali kedua dengan pasukan itu terutama selepas TMJ sangat memberi inspirasi dan sokongan kepada kita untuk menaik taraf mutu bola sepak negeri.

"Berkaitan hubungan dengan kelab bertaraf dunia seperti Liverpool, kita akan mula dengan kelab di Asia terlebih dahulu dan dalam masa sama kita PBSNT akan sentiasa mengambil maklum balas daripada barisan kejurulatihan demi meningkatkan mutu bola sepak negeri," kata Hishamuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 10:44 AM