X
MOURINHO (kiri) pening fikir posisi yang sesuai untuk Rashford. FOTO/AGENSI
MOURINHO (kiri) pening fikir posisi yang sesuai untuk Rashford. FOTO/AGENSI
AFP 

MANCHESTER: Marcus Rashford sudah membuktikan dengan England betapa dia mempunyai semua kualiti untuk menjadi peledak berbisa, namun tugasnya kini adalah untuk membawa prestasi sama ke Manchester United.

Rashford cemerlang ketika England menjinakkan Croatia 2-1 Ahad lalu untuk mengesahkan tiket ke pentas final Liga Negara-Negara Eropah tetapi tidak ada jaminan untuk dia diturunkan apabila United menerima kunjungan Crystal Palace, esok.

Ia kerana pengendali Jose Mourinho masih tertanya-tanya apakah posisi terbaik Rashford dalam pasukannya, satu isu yang tidak menjadi masalah di peringkat antarabangsa.

Pengurus England, Gareth Southgate kini sudah menukar sistem 3-5-2 yang digunakan di Piala Dunia 2018 kepada 4-3-3 dengan menurunkan Rashford di sebelah kiri dalam penyerang tiga serangkai.

Raheem Sterling diberikan peranan di sebelah kanan dan kapten Harry Kane pula melengkapkan kombinasi itu dengan peranan penyerang tengah.

Ia satu pendekatan yang menjadi buat Southgate dengan Rashford menyinar termasuk ketika England mengatasi Sepanyol 3-2 bulan lalu sebelum menggunakan kepantasannya untuk mengancam pertahanan Croatia.

Bagaimanapun, untuk menyambar posisi sebelah kiri United, Rashford perlu bertarung dengan Anthony Martial yang mana kini prestasinya berada di tahap terbaik.

Penyerang Perancis itu tampak lebih konsisten berbanding pencabarnya dari England itu sejak permulaan musim lalu dengan 15 gol tatkala Rashford hanya sembilan gol Liga Perdana Inggeris.

Mourinho juga semakin gembira dengan kemampuan Martial memahami tugasnya ketika bertahan, bermakna Rashford hampir pasti perlu mencari posisi lain untuk mengukuhkan semula kedudukannya.

Penyudahnya juga lembik, jadi pilihan terbaiknya untuk jangka masa pendek untuk meraih tempat dalam kesebelasan utama adalah dengan beraksi di sebelah kanan, peranan dimainkannya ketika mereka terikat 2-2 dengan Chelsea pada Oktober lalu.

Namun, tanpa diragui Mourinho masih ‘menyayangi’ Rashford, di sebalik laporan mengaitkannya dengan Real Madrid.

“Saya fikir dia pemain istimewa, budak istimewa, jika anda mahu mengatakannya dia sudah cukup matang dari segi permainan, masih banyak ruang untuk dia terus mengembangkan bakatnya," kata Mourinho.

“Saya fikir masa masih panjang untuk kariernya meletup, tidak banyak pemain yang mempunyai peluang sebaiknya itu.”

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 11:55 AM