AKHYAR Rashid (tengah) menjalani latihan di Padang USIM bagi persiapan menentang Myanmar Sabtu ini. -Foto ADZLAN SIDEK.
Izzali Ismail


ALOR SETAR: Kelab Penyokong Bolasepak Kedah mendesak pihak yang mahu mendapatkan khidmat pemain muda skuad Helang Merah, Akhyar Rashid supaya melamarnya secara profesional dan bukannya melalui ‘pintu belakang’.

Akhyar yang digelar ‘Neymar Kedah’ kini bersama skuad kebangsaan menghadapi saingan Piala AFF 2018, dan dikatakan menjadi sasaran utama perpindahan pemain menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M), musim depan.

Bantahan itu disuarakan Presiden Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC), Safarizal Mohd Sobri yang melihat tindakan melamar tanpa sebarang 'hitam putih' sebagai langah tidak bijak kerana pemain itu masih memiliki baki kontrak.

"JUFC tidak menghalang jika Akhyar mahu berhijrah, tetapi semua pihak perlu faham Akhyar masih ada kontrak dengan KFA (Persatuan Bolasepak Kedah) sehingga 2019.

"Saya berharap pasukan yang ingin melamarnya supaya berbincang secara profesional dengan KFA sebagai tanda hormat dan bukannya melamar ikut pintu belakang.

"Kami hairan kenapa Akhyar perlu membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam hal ini, padahal isu ni boleh diselesaikan dalam situasi ‘sama-sama menang’.

Safarizal yang juga jurucakap Kelab-Kelab Penyokong Bolasepak Kedah menasihatkan pihak yang berminat mendapatkan pemain Kedah supaya menghantar wakil untuk berbincang dengan KFA.

"Semua kelab mahu menuju ke arah profesional, jadi buktikan mereka juga mengamalkan etika yang prosesional. Namun, tindakan yang kami lihat ini seperti ‘mencuri' pemain menggunakan saluran salah.

Semalam, KFA menyatakan mereka mempunyai tempoh 10 hari untuk menyelesaikan rundingan berkaitan isu pelepasan kontrak Akhyar, selepas pemain itu memohon mendapatkan pelepasan kontrak.

Perkara ini dimaklumkan oleh Naib Presiden 1 KFA, Anas Hafiz Mustafa dengan mengesahkan, pemain itu telah merujuk isu permohonan pelepasan kontrak kepada FAM.

KFA mendakwa tidak menerima permohonan rasmi mengenai sebarang tawaran dan berharap FAM akan menjadi orang tengah untuk menyelesaikan perkara ini dalam tempoh yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 7:17 PM