IRFAN BAKTI ABDUL SALIM
Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Pemain negara Asia Tengah menjadi buruan terakhir skuad Terengganu FC (TFC) dalam misi memperkuatkan pasukan menghadapi musim baharu 2019.

Import terakhir itu bakal beraksi di posisi tengah untuk membantu memperkuatkan senarai tonggak musim lalu yang dikekalkan skuad Penyu - Lee Tuck, Kipre Tchetche, Igor Zonjic dan Thierry Chantha Bin.

Ketua jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim berkata, pemain kuota Asia itu dijangka tiba pertengahan bulan depan, kerana ketika ini, dia kini masih mempunyai baki kontrak bersama pasukan lamanya.

“Kita sudah berunding dengan pemain itu yang belum pernah bermain dalam Liga Malaysia (Liga M), tetapi buat masa ini nama pemain itu tidak boleh diumumkan kerana masih terikat dengan pasukan lama.

“Jika semua berjalan lancar, perkara itu diumumkan pada pertengahan Disember ini,” kata Irfan Bakti selepas majlis menandatangani kontrak 10 pemain baharu di pejabat Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), semalam.

Pemain import itu akan yang mengisi slot yang ditinggalkan Do Dong Hyun, selepas pemain dari Korea Selatan ini tidak disambung kontrak bagi musim 2019.

Bagi saingan musim depan, TFC membawa masuk 10 pemain tempatan baharu - Ahmad Shamim Yahaya, Muhamad Khairu Azrin Khazali, Ilham Amirullah Razali, Khairul Anwar Shahruddin, Mohd Khairul Izuan Rosli, Azalinullah Mohd Alias, Haidir Suhaini, Shahrin Sapein dan Muhammad Mohd Fauzi selain penjaga gol skuad Piala Presiden Terengganui, Shafawi Mohamad.

Pemain yang dikekalkan ialah pemain pertahanan, Mohd Kamal Azizi Mohd Zabri, Adib Aizuddin Ab Latif, Hasnizaidi Jamian, Nasrullah Haniff Johan, Mohd Radhi Mohd Yusof dan Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris.

Turut dikekalkan, penyerang berpengalaman, Mohd Ashari Shamsudin serta penjaga gol, Wan Muhammad Azraie Wan Teh dan Mohd Suffian Abdul Rahman serta pemain tengah, Mohd Shahrul Aizad Zulkufli dan Abdul Malik Mat Ariff.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 7:57 PM