MOHAMED Salah meraikan jaringan pertama perlawanan antara Liverpool dan Watford. FOTO Reuters
Reuters

LONDON: Liverpool meneruskan tekanan ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City selepas merakam kemenangan selesa 3-0 ke atas Watford, hari ini.

Selepas gagal menyempurnakan peluang jaringan di babak pertama, Mohamed Salah merembat bola rendah menewaskan penjaga gol Watford, Ben Foster untuk gol pertama pelawat pada minit ke-67.

Kemudian, sembilan minit selepas itu, pertahanan England, Trent Alexander-Arnold menjaringkan gol kedua Liverpool menerusi sepakan percuma yang cukup menarik dari jarak 24 meter.

Bagaimanapun, jaringan menarik pemain berusia 20 tahun ini sedikit tercemar apabila kapten, Jordan Henderson diperintahkan keluar padang tidak lama selepas itu apabila mengutip kad kuning kedua.

Liverpool yang hilang sedikit kelebihan apabila beraksi kurang seorang pemain terus mengasak memburu jaringan di laman lawan.

Hasilnya mereka berjaya menemui gol ketiga pada penghujung perlawanan melalui sentuhan Roberto Firmino.

Kemenangan itu berjaya memastikan Liverpool mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kempen liga musim ini selepas mengharungi 13 perlawanan.

Skuad bimbingan Juergen Klopp kini mengumpul 33 mata dan ketinggalan dua mata di belakang City yang membelasah West Ham United, 4-0 untuk kekal di puncak liga.

Watford pula tergelincir ke tangga ke lapan selepas mengharungi tidak perlawanan terakhir tanpa kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 1:32 AM