CAVANI ledak gol tunggal PSG. FOTO/REUTERS
Reuters

PARIS: Juara bertahan, Paris Saint Germain meneruskan rentak cemerlang di awal musim Ligue 1 ini dengan mencetak kemenangan 1-0 ke atas Toulouse manakala Thierry Henry meraikan kemenangan pertamanya selaku pengurus Monaco apabila kelab kendaliannya itu menewaskan Caen 1-0, awal pagi tadi.

Berada di kedudukan kedua tercorot liga dengan dua keputusan seri dan tewas empat kali di bawah kendalian bekas pemain kebangsaan Perancis, Henry, Monaco dilihat terdesak untuk mengubah nasib mereka dan penyerang Colombia, Radamel Falcao menyudahkan jaringan pada minit ke-54.

Monaco bernasib baik dan harus berterima kasih kepada Video Bantuan Pengadil (VAR) yang memastikan status pendahulu permainan kekal selepas percubaan lewat Malik Tchokounte dinafikan kerana didapati offside.

Terdahulu, penyerang Uruguay, Edinson Cavani meledak gol kesembilannya dalam saingan liga musim ini bagi menjamin kemenangan PSG yang juga ke-14 berturut-turut pasukan, seterusnya mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan dalam kempen kali ini.

Meskipun mereka banyak terlepas peluang di sepanjang perlawanan, mereka masih mampu untuk mengumpul 42 mata setakat ini, mendahului 15 mata di depan penghuni tangga kedua, Olympique Lyonnais.

Di kedudukan bawah liga, Monaco kekal berada di tangga ke-19 namun mempunyai kelebihan tiga mata di atas pasukan tercorot Guingamp, pasukan yang tewas 1-2 di tangan Reims.

Dengan dua gandingan penyerang Neymar dan Kylian Mbappe diketepikan selepas aksi antarabangsa minggu lalu, jurulatih PSG, Thomas Tuchel membariskan Julian Draxler dan Angel Di Maria untuk mengemudi jentera serangan bersama-sama Cavani ketika melayan kunjungan Toulouse.

Dan biarpun memulakan saingan dengan dua mata di atas zon penyingkiran, Toulouse tetap menunjukkan semangat juang tinggi untuk berdepan PSG.

Pemain gantian, Jimmy Durmaz menjadi tunjang pasukan di sebalik beberapa percubaan serangan balas di babak kedua buat pasukan pelawat namun jentera pertahanan PSG diketuai Gianluigi Buffon di gawang gol jelas bukan tandingan buat mereka.

Pertahanan Brazil, Dani Alves dibawa masuk pada babak kedua sekali gus menamatkan penantiannya selepas diketepikan selama enam bulan kerana kecederaan lutut yang menyaksikan dirinya juga terlepas aksi di Piala Dunia di Russia.

Neymar dan Mbappe juga dijadual kembali cergas untuk pertemuan PSG dan Liverpool pada kasi Kumpulan C Liga Juara-Juara di Paris, Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 8:33 AM