HOENESS kecewa dengan persembahan Bayern yang makin merosot. FOTO/AGENSI
AFP

BERLIN: Presiden Bayern Munich, Uli Hoeness melepaskan geram ke atas pemainnya selepas juara Jerman itu hanya seri 3-3 dengan pasukan kerdil Bundesliga, Fortuna Duesseldorf walaupun mendahului dua gol, awal pagi tadi.

Bayern kini di tempat kelima, sembilan mata di belakang pendahulu Borussia Dortmund yang menang 2-1 di Mainz hasil jaringan lewat Lukasz Piszczek. Dodi Lukebakio menjaringkan hatrik termasuk jaringan lewat penyamaan bagi menafikan kemenangan Bayern.

"Apa yang berlaku hari ini tidak boleh diterima,” kata Hoeness. "Saya perlukan masa untuk pulih daripada kejutan ini dan pasti malam yang sangat sukar buat isteri saya."

"Kami perlu mencari punca kenapa beraksi dengan buruk dengan tiada inspirasi dan tiada keyakinan diri,” kata Hoeness sambil menyifatkan kesilapan beberapa pemainnya adalah lawak.

Hoeness tetap yakin Bayern belum tersisih daripada perebutan kejuaraan liga tetapi berdasarkan prestasi ketika menentang Fotuna, mereka perlu bangkit segera dan bekerja lebih keras.

Kedudukan jurulatih berusia 66 tahun, Niko Kovac masih selamat sehingga aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Benfica, Selasa ini dan Bayern bakal layak ke peringkat kalah mati jika menang.

Tetapi Hoeness memberi bayangan kedudukan Kovac agak goyah.

"Niko Kovac sudah pasti kekal menjadi jurulatih menentang Benfica. Selepas itu barulah kami akan melakukan analisa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 9:12 AM