MOURINHO dakwa pemain United tidak sepenuh hati menentang Palace. FOTO/AGENSI
MOURINHO dakwa pemain United tidak sepenuh hati menentang Palace. FOTO/AGENSI
AFP

MANCHESTER: Jose Mourinho mendakwa pemain Manchester United tidak bermain sepenuh hati ketika seri 0-0 menentang Crystal Palace semalam sekali gus harapan untuk melonjak ke kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak menjadi kenyataan.

Pasukan bimbingan Mourinho disorak dengan herdikan pada hujung perlawanan yang menyaksikan mereka berada di tempat ketujuh, jauh dari slot kelayakan ke Liga Juara-Juara.

Paul Pogba yang kembali beraksi selepas pulih kecederaan otot gagal mencetuskan inspirasi dan digantikan oleh Alexis Sanchez pada minit ke-67.

Mourinho berharap aksi yang lebih bertenaga untuk membantu mereka membina momentum sebelum kembali ke kedudukan empat pasukan terbaik menjelang 2019.

Malah beliau memberi amaran kepada pemain bahawa aksi yang sama dipamerkan menjelang pertemuan dengan kelab Switzerland, Young Boys, Selasa ini mampu mendatangkan masalah buat United untuk melepasi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim ini.

Mourinho mahu anak buahnya memberikan aksi lebih baik dalam pertemuan menentang Palace namun mempersoalkan kegagalan berkenaan.

"Jika mereka bermain dengan cara sama menentang Young Boys, mereka tidak akan mencatat kemenangan dan perlu berkunjung ke Valencia (dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan) dan menang di sana.

Mourinho kecewa pemainnya tidak memandang serius perlawanan menentang Palace yang menjadi punca kegagalan mereka.

"Ada sesetengah perlawanan kami perlu beraksi dengan lebih baik dan bukan hanya memikirkan untuk aksi seterusnya. Ini perlawanan penting, aksi pertama EPL sebelum hujung Disember dan kami memerlukan kemenangan.

"Bagaimanapun, ia tidak cukup. Anda harus bermain menggunakan otak dan beraksi sepenuh hati. Saya rasa mereka tiada kedua-duanya hari ini (semalam)," katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 12:19 PM