PENJAGA gol Chievo, Stefano Sorrentino (tengah) menepis bola daripada pemain Napoli (jersi biru). FOTO/AFP
PENJAGA gol Chievo, Stefano Sorrentino (tengah) menepis bola daripada pemain Napoli (jersi biru). FOTO/AFP
AFP

MILAN: Kempen memburu gelaran Serie A kelapan berturut-turut Juventus semakin cerah apabila pesaing terdekat Napoli dikejutkan dengan keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang kelab kelompok bawahan Chievo.

Napoli kendalian Carlo Ancelotti yang berada di tangga kedua liga memerlukan kemenangan untuk mengekalkan jurang enam mata dengan pendahulu, Juventus tetapi gagal membolosi gawang Chievo di Stadium San Paulo.

Napoli yang akan melayan kunjungan Red Star Belgrade dalam aksi Liga Juara-Juara beberapa hari lagi, kini ketinggalan lapan mata di belakang Juventus yang menewaskan SPAL 2-0 Sabtu lalu hasil jaringan Cristiano Ronaldo dan Mario Mandzukic.

“Tidak ada gunanya melihat kedudukan Serie A sekarang. Kami akan melihat dan menilainya di pertengahan musim nanti,” kata Ancelotti.

"Apa yang kami rancang semuanya tidak menjadi hari ini dan membolehkan Chievo bermain secara bertahan. 

“Tetapi ia adalah ujian yang bagus menjelang perlawanan Rabu ini menentang Red Star. Taktikal berdepan Red Star tidak berubah.”

Inter Milan di tangga ketiga ketinggalan satu mata di belakang Napoli selepas kemenangan 3-0 ke atas Frosinone yang menghuni tangga kedua tercorot.

Joaquin Correa membantu Lazio mengikat AC Milan 1-1 dengan kedua-dua pasukan terlepas peluang menyertai kelompok tiga teratas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 9:50 AM