HADI tak kekol bersama kelab Jepun. FOTO/NSTP
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Penyerang skuad Bawah 19 tahun negara (B-19), Hadi Fayyadh Abdul Razak nyata tidak lagi kekok selepas ‘pulang’ ke Fagiano Okayama buat kali kedua bagi menjalani latihan bersama pasukan divisyen dua Liga Jepun itu (J2).

Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berada di sana sejak 22 November lalu mengakui sudah menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan dan jurulatih yang dilihat tidak kedekut untuk berkongsi ilmu dengannya.

“Saya mendapat kerjasama penuh daripada pihak Fagiano Okayama. Saya semakin selesa dan rapat dengan pemain lain memandangkan ini kali kedua saya bersama mereka.

“Saya juga sudah belajar sedikit bahasa Jepun dan mula berkomunikasi dengan mereka menggunakan bahasa itu,” katanya.

Dalam masa sama, Hadi menjelaskan cuaca sejuk di negara Matahari Terbit itu tidak mendatangkan masalah kepadanya memandangkan dia pernah berdepan situasi sama ketika mewakili skuad B-19.

“Cuaca sejuk di sini memberi sedikit cabaran kepada saya namun ia bukanlah satu masalah kerana saya pernah mengharungi perlawanan kelayakan Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 di Korea Selatan sebelum ini.

“Apa yang penting adalah saya perlu berusaha keras untuk mendapatkan tempat bersama pasukan ini kerana ia menjadi impian saya sejak kecil untuk menimba pengalaman di luar negara.

“Saya juga berterima kasih kepada pihak Yakult Malaysia, terutamanya kepada Hiroshi Hamada yang berusaha keras membantu saya mendapatkan tempat di sini,” katanya.

Sebagai rekod, ini kali ketiga Hadi Fayyadh menjalani latihan di Jepun dengan kali pertama bersama Roasso Kumamoto pada Ogos sebelum bersama Fagiano Okayama, September lalu.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 1:35 PM