MOURINHO mahu anak buah tekan lawan sejak awal perlawanan. FOTO/AGENSI
AFP

MANCHESTER, United Kingdom: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mahukan pemainnya menguasai perlawanan sejak wisel permulaan ketika berdepan kelab dari Switzerland, Young Boys dalam Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Jika United menang dalam aksi di Old Trafford dan Valencia pula gagal menumbangkan Juventus, mereka akan layak ke pusingan 16 terbaik dengan kelebihan masih berbaki satu perlawanan.

Sebelum ini, Mourinho ‘mengamuk’ selepas United sekadar seri tanpa jaringan berdepan pasukan bergelut, Crystal Palace dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), hujung minggu lalu.

Tegasnya, pemain United langsung tidak mempunyai ‘jiwa’ dan semangat sehingga mereka diejek penyokong sendiri di Old Trafford, berikutan keputusan perlawanan serta kedudukan semasa yang menyaksikan mereka kini di tangga ketujuh liga.

Jika kedudukan itu tidak berubah, United tidak akan layak untuk terus bersaing di Liga Juara-Juara pada musim depan.

Mourinho memberi amaran, jika pemainnya masih mengekalkan sikap sama ketika berdepan Young Boys, ia akan menyukarkan United kerana terpaksa berkunjung ke Sepanyol dan wajib menang ke atas Valencia dalam aksi terakhir Kumpulan H.

Ketika bercakap pada sidang media sempena perlawanan itu, Maurinho menegaskan; “Ia mengecewakan, kerana apa yang saya mahukan ialah pemain mesti memulakan perlawanan dengan cukup mantap.

“Jika pasukan cukup kuat ke atas lawan, kita tak perlu tunggu.

“Itulah yang sebenarnya saya mahukan dan mungkin anda dan peminat fikirkan, ‘oh Jose mahukan pemain bermula dengan rentak perlahan. Jose arahkan supaya beraksi dengan cara mudah dan tunggu apa akan berlaku atau, cuba bangkit apabila ketinggalan.

Pengendali dari Portugal ini mengakui; “Sebenarnya, apa yang berlaku adalah di sebaliknya. Saya mahukan mereka bermula dengan kuat, saya mahu mereka terus mengasak dan menekan lawan, tetapi ia sedikit mengecewakan,”

“Saya mahukan mereka beraksi seperti itulah peluang terakhir untuk layak. Saya mahukan aksi seperti perlawanan kalah mati,”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 9:52 AM