KOVAC gesa pemain bangkit. FOTO/AGENSI

MUNICH: Niko Kavac menegaskan beliau adalah pejuang, dan terus yakin mampu mengemudi kebangkitan Bayern Munich, meskipun posisinya selaku ketua jurulatih kelab dikritik serta ditekan hebat.

Laporan media Jerman mengaitkan bekas pengendali Arsenal, Arsene Wenger bakal mengisi slot itu jika pengurusan tertinggi Bayern memutuskan untuk mengambil keputusan tegas memecat Kavic.

Senario itu diburukkan lagi dengan keputusan seri 3-3 berdepan Dusseldorf, yang menyaksikan Bayern kini tercicir sembilan mata di belakang pendahulu liga, Borussia Dortmund.

Bayern dijadual melayan kunjungan Benfica dalam aksi Liga Juara-Juara, Khamis ini dan hanya memerlukan satu mata daripada dua perlawanan akhir peringkat kumpulan bagi memastikan mereka layak ke pusingan kalah mati.

"Sesiapa yang mengenali saya tahu yang saya sentiasa berjuang," kata Kovac.

"Saya sentiasa tegas dalam hidup saya, menyerah kalah atau mengibar bendera putih tidak pernah wujud dalam hidup saya. Saya sentiasa berjuang.

"Kritikan akan sentiasa ada jika kamu tidak berusaha mencapai sasaran - kami perlukan satu mata esok untuk layak tetapi kami mahukan kemenangan.

“Kemudian, kami berharap dapat beraksi dengan lebih baik dalam kancah Bundesliga berbanding sebelumnya."

Kovac yang juga bekas pemain Bayern menggantikan kerusi ditinggalkan bekas pengendali, Jupp Heynckes pada musim panas lalu dengan kontrak selama tiga tahun.

Namun, misi kelab untuk menjulang gelaran ketujuh berturut-turut Bundesliga kini makin samar apabila merekodkan tiga perlawanan tanpa satu pun kemenangan.

Ditanya sekiranya beliau bimbang perlawanan menentang Benfica nanti adalah yang terakhir baginya, Kovac berkata: "Tidak! Kenapa saya perlu negatif? Saya sentiasa positif."

Ketua Bayern pernah mengadakan sidang media tergempar Oktober lalu selepas Kovac berdepan kecaman, susulan kelab dikemudinya merekodkan empat perlawanan tanpa kemenangan.

"Saya sangat kecewa dan kesal pada Sabtu lalu. Sekiranya kamu mendahului ketika menentang Augsburg, Freiburg serta Dusseldorf, dan kemudian memberikan mereka mata, maka ia adalah sesuatu yang mengecewakan," kata Kovac.

"Dalam perjalanan ini, kami sudah terlepas enam mata, kesilapan dilakukan berulang kali tetapi kami tidak boleh bermain terburu-buru dengan perancangan kami sendiri.

"Kami hanya mempunyai 14 pemain yang boleh disenaraikan dan saya harap pemain mampu mencapai had kemampuan mereka, esok." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 2:43 PM