AGUERO (kiri atas) menanduk bola ke gawang Manchester City untuk gol penyamaan pada aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. FOTO/EPA
AFP

LYON, Perancis: Sergio Aguero meledak gol penyamaan penghujung perlawanan untuk membolehkan Manchester City mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara, susulan keputusan seri 2-2 di Lyon.

Maxwel Cornet meletakkan Lyon di depan pada minit ke-55 di Stadium Groupama, sebelum Aymeric Laporte menanduk gol penyamaan City sejurus selepas itu.

Cornet sekali lagi merobek gawang City ketika permainan berbaki sembilan minit dan membawa Lyon untuk meraih kemenangan kedua ke atas City musim ini.

Namun, Aguero memastikan satu mata berharga buat pendahulu Liga Perdana Inggeris itu menerusi gol penyamaan dan mara ke kelompok 16 terakhir.

“Hari ini Liga Juara-Juara sekali lagi menunjukkan kepada saya yang ia adalah pertandingan berbeza dan sebabnya hanyalah satu – pemain-pemainnya lebih baik,” kata pengendali City Pep Guardiola.

“Sebab itu setiap kali kami memikirkan mengenai Liga Juara-Juara dan orang mengatakan ia mudah buat Manchester City, mereka sebenarnya keliru mengenai perkara ini.

“Mereka yang berkata demikian tidak pernah melihat Lyon bermain, atau Hoffenheim, atau Shakhtar.”

Dalam aksi tadi, Nabil Fekir melupakan kecederaan pangkal paha ketika menewaskan Saint-Etienne pada Jumaat untuk mengetuai cabaran Lyon, yang menewaskan City 2-1 pada aksi pembukaan September lalu – satu-satunya kekalahan juara Inggeris itu musim ini.

Guardiola bertandang ke Lyon tanpa kelibat Bernardo Silva, Ilkay Gundogan dan Gabriel Jesus akibat kecederaan, dan pengendali itu memberi peluang kepada pemain 18 tahun, Phil Foden untuk masuk sebagai pemain gantian.

Selepas berkongsi mata di laman sendiri padi tadi, Lyon kini perlu mengelak kekalahan di Shakhtar Donetsk pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, jika mahu menyertai City pada pusingan seterusnya.

Ini kerana kelab Ukraine itu menang 3-2 di Hoffenheim dan menghidupkan peluang mereka untuk melepasi saingan Kumpulan F.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 9:28 AM