PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM).
Zulfaizan Mansor


KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meminta tiga kelab melunaskan tunggakan gaji dan pampasan kontrak dengan jumlah keseluruhan RM161,600.

Keputusan mengenai tuntutan tunggakan gaji membabitkan pasukan Marcerra United, Terengganu City dan Hanelang FC itu dibuat Jawatankuasa Status FAM pada mesyuarat, Khamis lalu.

Tuntutan terhadap Marcerra United dibuat salah seorang pegawai kejurulatihan mereka, Khairul Nizam Mohd Taib berjumlah RM30,600 yang membabitkan tunggakan gaji dan elaun perumahan.

Jawatankuasa berkenaan juga membuat keputusan sama membabitkan tuntutan tiga pemain terhadap Terengganu City.

Mohd Nasyrul Naim Fauzi membuat tuntutan tunggakan gaji RM13,800, Muhammad Munawwar Shavukath Ali (RM19,800) dan Ros Mohd Muharam Wahab (RM11,400).

Sementara itu, Munawwar turut membuat tuntutan tunggakan gaji RM6,000 terhadap pasukan Hanelang FC.

Dua lagi pemain, Mohamad Aizat Asli dan Mohamad Hasrolsyawal Hamid turut membuat tuntutan tunggakan gaji terhadap Hanelang FC dengan masing-masing berjumlah RM40,000.

Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Mohd Joehari Ayub dalam satu kenyataan, hari ini menjelaskan tiga kelab itu diminta menyelesaikan tuntutan berkenaan dalam tempoh 30 hari.

“Jika gagal membayar jumlah dinyatakan dalam tempoh ditetapkan, apa-apa deposit penyertaan pertandingan, hadiah wang tunai atau apa sahaja kewangan responden yang masih berbaki di FAM akan dibayar terus kepada pengadu.

“Perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi jika sumber kewangan yang dinyatakan di atas masih tidak mencukupi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 9:19 PM