HUGHES (kanan) bersalam dengan pemainnya, Pierre-Emile Hojbjerg sejurut tamat perlawanan ketika menentang Leicester City, Selasa lalu. FOTO/REUTERS
Reuters

LONDON: Pengendali Southampton, Mark Hughes langsung tidak mempedulikan spekulasi yang menyelubungi masa depannya di kelab Liga Perdana itu bahkan yakin, pasukannya bakal menghasilkan keputusan tidak lama lagi.

Southampton yang kini berada di kedudukan tiga terbawah liga, bakal menentang Manchester United dalam perlawanan di laman sendiri pada awal pagi Ahad.

Setakat ini, mereka hanya memenangi satu perlawanan liga, seri lima kali dan kalah tujuh kali sepanjang 13 perlawanan musim ini dan tidak pernah menang di Stadium St Mary.

Kejayaan tunggal itu dicatatkan ketika menentang Crystal Palace pada 1 September lalu dan mereka turut tunduk 2-3 kepada pasukan tercorot, Fulham yang menyebabkan Hughes kini berdepan dengan tekanan.

The Times melaporkan, pengurusan kelab itu sudah mengadakan perbincangan bersama bekas pengurus Fiorentina, Paulo Sousa untuk mengambil alih posisi Hughes.

Hughes akan berdepan laluan lebih sukar selepas ini apabila dijadualkan menentang empat daripada lima pasukan teratas liga dalam minggu akan datang.

“Saya bukanlah satu-satunya pengurus kelab bola sepak yang berada di bawah dan mungkin belum lagi mencapai kejayaan buat masa ini,” kata Hughes.

“Saya kini dihimpit spekulasi ini, dengan cara yang betul atau salah, tetapi saya berada dalam permainan ini sudah terlalu lama.

“Ia tidak mengganggu saya. Saya rasa di situlah fungsinya pengalaman yang ada, kerana saya tidak terkesan dengan kritikan itu. Saya tahu bagaimana permainan ini berjalan,”

Southampton kini bergelut mendapatkan jaringan apabila hanya meledak 10 gol daripada 13 perlawanan liga.

Cabaran buat Hughes semakin parah apabila penyerang pinjaman mereka, Danny Ings mengalami kecederaan hamstring dan terlepas dua perlawanan sebelum ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 11:43 AM