EMERY ada banyak pilihan pemain menjelang aksi menentang Spurs. FOTO/AGENSI
Reuters

LONDON: Unai Emery kini mempunyai banyak pilihan untuk menyenaraikan kesebelasan terbaik berdepan seteru tetangga, Tottenham Hotspur apabila pemain muda Arsenal mempamerkan aksi cukup menyakinkan di pentas Eropah.

Pengurus Arsenal itu memuji kualiti skuad mudanya yang mengesahkan tempat selaku pendahulu Kumpulan E Liga Europa, susulan kemenangan selesa 3-0 ke atas Vorskla Poltava, awal pagi tadi.

Selepas mengharungi pelbagai kesukaran sebelum perlawanan di laman lawan di Ukraine, termasuk beraksi di suhu bawah 10 darjah celsius, ia tidak menghalang Gunners meneruskan rekod tanpa kalah kepada 18 perlawanan.

“Semangat dan kualiti adalah bagus,” kata Emery. “Kami mempunyai tanggungjawab terhadap pemain muda seperti Emile untuk menunjukkan kepada kami jika mereka boleh meningkat dan kekal bersama kami.

“Mereka perlu bermain dalam perlawanan seperti hari ini. Dia (Emile Smith Rowe) cukup yakin, mengambil tanggungjawab dan saya juga berfikir persembahannya selama 90 minit adalah amat bagus.

“Dia adalah contoh yang baik kepada pemain muda yang lain. Kami fikir mereka boleh membantu kami, tetapi mereka juga memerlukan keyakinan untuk bermain, bukan saja mengambil bahagian ketika sesi latihan.”

Ketiga-tiga gol Arsenal dijaringkan pada babak pertama dengan dua daripadanya disumbangkan pemain berusia 18 tahun, Smith Rowe dan Joe Willock, 19, selain gol menerusi penalti Aaron Ramsey.

Selain beraksi dalam keadaan cuaca ekstrim, perlawanan juga terpaksa berlangsung lebih 300 kilometer dari gelanggang asal di Kiev, susulan ketegangan politik dengan bas yang membawa pasukan turut rosak dalam perjalanan ke Stadium Olimpik.

Vorskla yang menghuni tangga keempat dalam Liga Perdana Ukraine menggunakan kekacauan politik dan kekeliruan sebelum perlawanan sebagai alasan kekalahan berkenaan.

Pengendalinya, Vasyl Sachko berkata: “Satu hari cuti dirampas daripada Poltava. Perlawanan ini amat penting bagi bandar kami. Satu perlawanan yang penting dalam 10 tahun. Ia mengganggu keadaan mental pemain. Jika kami bermain di gelanggang sendiri, keputusan mungkin berbeza.”

Sebagai rekod, Emery menyenaraikan pemain yang memiliki pengalaman paling sedikit dalam kancah Liga Perdana Inggeris menentang Vorskla.

Kesebelasan utamanya hanya mempunyai 389 penampilan di saingan elit itu dengan 247 daripadanya adalah milik  Ramsey.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 12:06 PM