JOSE MOURINHO
JOSE MOURINHO
AFP

MANCHESTER: Jose Mourinho bimbang Manchester United tidak mampu membeli pemain berkualiti pada jendela perpindahan Januari ini, kerana pencabar mereka tidak terdesak atau tidak ada keperluan untuk menjual pemain.

United menghabiskan hampir AS$510 juta (RM2.13 billion) membeli pemain sejak Mourinho tiba di kelab itu pada 2016, tetapi pengurus itu mendakwa membeli pemain-pemain terbaik sudah menjadi perkara yang terlalu sukar.

Mourinho mendakwa keseimbangan kuasa di Liga Perdana Inggeris sudah berubah - dengan menggunakan Tottenham sebagai contoh paling tepat.

Tottenham tidak mengeluarkan sebarang dana ketika perpindahan sebelum ini, tetapi masih mampu mengekalkan pemain tonggak mereka seperti Harry Kane, Dele Alli, Christian Eriksen dan Son Heung-Min.

Walaupun tiada sebarang cubaan daripada United untuk mendapatkan keempat-empat pemain itu, tetapi Mourinho menegaskan Tottenham akan menolak untuk menjual mereka jika ada pihak yang berminat.

Malah pengurus dari Portugal itu turut memberi contoh ketika United membeli pemain tengah England, Michael Carrick dari Tottenham pada 2006, sebelum menarik penyerang Bulgaria, Dimitar Berbatov dari White Hart Lane pada 2008.

“Adakah Manchester United dengan sejarah yang dimiliki, dengan dimensi mereka, lebih besar berbanding Tottenham?. Dengan rasa hormat, Tottenham adalah kelab yang menakjubkan, tetapi saya fikir semua orang akan berkata ya,” kata Mourinho.

“Bolehkah kamu membeli pemain terbaik Tottenham?. Tidak, kerana mereka tidak mahu menjualnya. Sudah tentu, mereka amat berkuasa sehingga mereka boleh berkata tidak.

“Beberapa tahun lalu, siapa pemain terbaik Tottenham? Michael Carrick. Dan beberapa tahun kemudian siapa pemain terbaik mereka? Berbatov.

“Bolehkan kamu pergi ke sana sekarang dan berkata kami mahukan Harry Kane? Dele Alli, Eriksen, Son?. Bolehkan kami pergi ke sana dan membawa pemain-pemain ini ke sini? Tidak. Jadi siapa lebih berkuasa ketika ini? Mereka atau kami?.

Selepas itu, bekas pengurus Chelsea itu turut seperti mengalih kritikan terhadap penyandang juara, Manchester City selepas menyifatkan sekatan kewangan kadang kala tidak diguna pakai di Liga Perdana.

Katanya, segelintir kelab kadang kala boleh membeli beberapa pemain pertahanan serentak - dengan pengurus City, Pep Guardiola membawa masuk tiga pertahanan pada 2017 dan melepaskan empat pemainnya bagi membentuk semula pasukan.

“Lebih sukar untuk menjadikan pasukan lebih baik dan kuat dengan cara membeli, kecuali jika kamu melakukan seperti sesetengah (pihak) lakukan, dan mengapa mereka boleh melakukannya dan (sedangkan) orang lain tidak boleh.

“Sebagai contoh: Saya memerlukan pertahanan kanan dan kiri, beri kepada saya satu yang kamu miliki atau beli keempat-empat pada masa yang sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 8:27 AM
Digital NSTP Subscribe