AHMAD AHMAD
AHMAD AHMAD
AFP

ACCRA, Ghana: Cameroon digugurkan daripada menganjurkan pusingan akhir Piala Negara-Negara Afrika (CAN) 2019, berikutan penangguhan persiapan untuk kejohanan benua berkenaan, umum Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF).

“Hari ini (semalam) kami mengambil keputusan untuk menarik balik hak penganjuran CAN 2019 daripada Cameroon,” kata Presiden CAF, Ahmad Ahmad dalam satu sidang media di sini.

Dalam Mesyuarat Eksekutif CAF, di sini yang berlangsung selama 10 jam, Ahmad berkata ‘pasukan tugas khas’ akan diwujudkan bagi menarik ‘negara-negara penganjur yang berminat bermula sekarang sehingga hujung tahun ini.’

Afrika Selatan dan Maghribi menjadi dua calon yang dijangka akan tampil menjadi pengganti buat kejohanan yang pertama kali menampilkan 24 pasukan bagi menggantikan Cameroon yang memenangi edisi tahun lalu di Gabon.

Maghribi yang kalah kepada gabungan Amerika Syarikat / Mexico / Kanada bagi penganjuran Piala Dunia 2026 dilihat sebagai calon paling pengganti berpotensi.

Mereka sebelum ini dijadual menganjurkan CAN pada 2015, sebelum digugurkan berikutan wabak Ebola yang melanda, dan Afrika Selatan menjadi satu-satunya negara di benua Afrika menganjurkan Piala Dunia pada 2010.

“Saya tahu ada negara-negara yang berminat, dan saya yakin, calon-calon ini akan tampil,” kata Ahmad.

CAN 2019 dijadualkan berlangsung pada 15 Jun hingga 13 Julai, perubahan yang secara tradisinya dilakukan pada Januari dan Februari.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 12:06 PM