JON RAHM
AFP

 

NASSAU (Bahamas): Jon Rahm berkata tip diperoleh dari Tiger Woods ketika kejohanan Ogos lalu banyak membantu pemain Sepanyol itu muncul juara dengan empat pukulan di Cabaran Dunia Hero hari ini.

Rahm, 24, kelihatan tidak dicabar ketika pusingan terakhir, bebas daripada bogey 65 untuk merekodkan 20 bawah par secara keseluruhan di lapangan golf Albany.

Kemenangan itu adalah kejayaan ketiga Rahm pada musim ini dan juga adalah ketujuh dalam tempoh dua tahun dia bemain secara profesional sekali gus menyaksikan menduduki ranking enam dunia, yang mana adalah catatan terbaik dalam kariernya.

Rahm juga berkongsi mendahului di hari kedua dan ketiga dengan melakukan tiga birdie dalam empat lubang keenam.

September lalu, Rahm diundi dalam saingan perseorangan Piala Ryder bersama idolanya, Tiger Woods dan menghasilkan mata pertama yang diperlukan pasukannya Eropah.

Kini nama Rahm diukir bersama di trofi Cabaran Dunia Hero.

“Ahad itu ketika bersama Tiger adalah paling emosi buat saya, menjadi saat terpenting dalam karier saya,” kata Rahm.

“Saya mula menangis apabila saya bersalam dengannya kerana ia sangat bermakna dapat bermain menentang Tiger Woods.

“Beberapa bulan kemudian dapat memenangi acara beliau, ini adalah sesuatu istimewa.”

Dan tip mengenai putt ketika latihan di East Lake itu menjadikan Rahm kini pemenang pertama dari Sepanyol memenangi Cabaran Dunia Hero itu.  

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 11:54 AM