Azlan Shah beralih pasukan. FOTO HM Digital
Sukhairi Thani


KUALA LUMPUR: Azlan Shah Kamaruzaman kini beralih arah ke pasukan tempatan ONEXOX TKKR Racing Team bagi mengharungi saingan kelas baharu ASB1000 pada Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) musim depan.

Selepas dua tahun bersama pasukan Manual Tech Kawasaki Racing bekas pelumba Moto2 negara dari tahun 2013 hingga 2015 itu bakal beralih menggunakan jentera BMW S1000 RR berbanding Kawasaki sebelum ini.

"Azlan adalah antara pelumba terbaik di Malaysia ketika ini," kata prinsipal pasukan, Bobie Farid. "Saya agak terkejut memandangkan dia tidak diikat oleh mana-mana pasukan pengeluar, jadi ia satu peluang baik kepada pasukan kami untuk memiliki pelumba berkaliber seperti Azlan di dalam pasukan.

“Tidak ada pelumba lain yang memiliki pengalaman luas seperti yang ada pada Azlan.”

Azlan, 34, sebelum ini pernah merangkul gelaran juara Asia dalam kelas SuperSports 600cc pada tahun 2013 dan 2017 namun tidak berupaya untuk mempertahankan gelarannya musim ini.

Pelumba Thailand, Ratthapong Wilairot dari pasukan YAMAHA Thailand Racing merampas gelaran daripada Azlan pada musim ini yang melabuhkan tirainya di Sirkit Antarabangsa Chand di Buriram, Thailand semalam dengan kutipan mata keseluruhan, 136 mata.

Azlan berada di tangga keempat keseluruhan dengan 123 mata manakala bekas rakan sepasukannya dari Indonesia, Ahmad Yudhistira berada di tangga ketiga dengan 131 mata.

Pelumba kontroversi dari Australia yang dibelenggu isu doping ketika ini, Anthony West dari pasukan Webike IKAZUCHI Racing muncul naib juara dengan 136 mata.

Saingan musim 2019 menyaksikan pasukan ONEXOX TKKR Racing akan menyertai semua kelas dalam siri Kejuaraan Cub Prix Malaysia dan juga ARRC.

Selain itu, difahamkan rakan sepasukan Azlan nanti adalah Ramdan Rosli yang sebelum ini pernah beraksi dalam Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV) manakala bekas pelumba Moto3, Amirul Hafiq Azmi meneruskan saingan dalam kelas SuperSports 600cc.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 6:02 PM