JOSE MOURINHO
JOSE MOURINHO
AFP

MANCHESTER: Jose Mourinho perlu pantas memulihkan moral Manchester United tatkala prestasi skuad kendaliannya dilihat mampu mengancam perjalanan keseluruhan musim tetapi halangan mereka berikutnya ialah Arsenal yang sedang ‘membara’.

United tampak tidak beraksi seperti kebiasaan di Old Trafford hampir keseluruhan musim ini dengan dua aksi terakhir di gelanggang keramat itu berakhir keputusan seri tanpa jaringan menentang Crystal Palace dan serta kemenangan kurang meyakinkan ke atas kelab Switzerland, Young Boys dalam aksi Liga Juara-Juara.

Kunjungan mereka ke laman lawan juga tidak begitu memberangsangkan seperti dilakukan pada Oktober lalu di mana mereka mencatat kemenangan di Chelsea dan menewaskan Juventus.

Ketika bertemu Southampton, United terlebih dulu ketinggalan dengan dua gol sebelum bangkit menyamakan kedudukan dengan penyerangnya, Romelu Lukaku meledak gol pertama sejak kali terakhir melakukannya pada 15 September lalu.

Pengendali dari Portugal itu mendakwa pemainnya, selain Marcus Rashford, beraksi longlai, tidak bersemangat yang dilabelnya ‘tiada semangat juang.’

Menurut wartawan Britain yang rapat dengan ejen Mourinho, Jorge Mendes, pengurus United itu membandingkan pemain tengahnya Paul Pogba dengan ‘virus’ selepas dia menampilkan satu lagi aksi buruk di Southampton dan menyifatkan pemain Perancis itu kurang rasa hormat kepada rakan sepasukan dan peminatnya.

Bilik persalinan United juga memberi petunjuk betapa mereka tidak gembira menjelang kunjungan Arsenal ke Old Trafford, awal pagi Khamis ini.

Sebagai bukti, pemainnya Juan Mata menolak untuk menyiarkan kolum mingguannya, semalam di laman web sebaliknya membuat keputusan menulis mesej pendek: “Malangnya, saya merasakan ia bukan masa yang tepat untuk menyiarkannya.”

Begitupun, sekali pun dipalit pelbagai kekecewaan, Mourinho dikatakan mendapat sokongan ramai peminat kelab itu yang merasakan pengendali itu tidak mendapat sokongan secukupnya daripada kelab ketika jendela perpindahan oleh Naib Pengerusi, Ed Woodward.

Kegagalan mendapatkan seorang pun pertahanan berkelas dunia menyebabkan kekecewaannya meningkat tetapi barisan benteng pertahanan yang disenaraikan ketika bertemu Southampton menjengkelkan peminatnya paling setia.

Kegagalan untuk menang merosakkan peluang United untuk menghuni tangga empat teratas - tiket ke kelayakan Liga Juara-Juara dan Mourinho juga tampak seperti percaya pasukannya ditinggalkan begitu jauh dan ketinggalan lapan mata di belakang Arsenal yang menghuni tangga keempat.

Ketika ditanya oleh televisyen Brazil mengenai sasarannya bagi keseluruhan musim ini, Mourinho berkata: “Cuba menang sebanyak mana mata yang boleh dan cuba (untuk mencapainya) perkara paling ajaib iaitu menamatkan saingan di kedudukan keempat.

“Tahun lalu, saya berkata menamatkan saingan di tangga kedua sebagai menakjubkan jika dibandingkan kualiti kami miliki dengan pasukan lain yang turut bersaing untuk kedudukan empat teratas. Tahun ini, dengan lebih masalah kami peroleh, ia membuktikan apa yang saya cakapkan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 12:41 PM