X
FALCAO jaring dua gol bantu Monaco benam Amiens. FOTO/AFP
FALCAO jaring dua gol bantu Monaco benam Amiens. FOTO/AFP
AFP

PARIS:  Radamel Falcao menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti ketika skuad bimbingan Thierry Henry melakar kemenangan 2-0 ke atas pasukan sedang bergelut, Amiens sekali gus melonjak daripada kedudukan tiga kelompok bawahan Ligue 1.  

Bintang antarabangsa Colombia itu gagal dalam dua sepakan penalti musim ini namun kali ini dia tenang menyempurnakan sepakan penalti pertama minit ke-43 di Stade de la Licorne selepas  Emil Krafth mengasarari Benoit Badiashile.

Pertahanan Amiens, Bakaye Dibassy dibuang padang selepas mengasari Falcao pada minit ke-90 dan dia mengesahkan kemenangan kedua Monaco daripada tiga perlawanan apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti kali kedua.

Henry enggan terlalu meraikan kemenangan itu.

 “Berdasarkan kepada prestasi di atas padang, ia tidaklah begitu baik. Mujur Falcao sentiasa ada apabila kami memerlukannya.

“Kami tidak boleh terlalu gembira. Kami perlu terus bekerja keras dan menggunakan aspek positif dalam setiap perlawanan untuk terus meningkatkan lagi motivasi kami,” katanya.

Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Henry kini menduduki tangga ke-17 di atas Dijon dan Amiens menerusi perbezaan jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 10:17 AM