RAJAGOBAL kenalpasti pemain untuk galas misi musim baru. FOTO/PKNS
RAJAGOBAL kenalpasti pemain untuk galas misi musim baru. FOTO/PKNS
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Selepas mengumumkan 11 muka lama yang dikekalkan semalam, PKNS FC semakin 'bernafsu' dalam pemburuan pertama trofi Liga Malaysia (Liga-M) musim depan apabila mengumumkan tujuh muka baharu termasuk seorang tonggak utama skuad Harimau Malaya yang kini beraksi di peringkat separuh akhir saingan Piala AFF 2018.

Tujuh pemain baharu yang dirantai skuad The Red Ants itu termasuk Nicholas Ryan Swirad (pertahanan tengah), Tommy Mawat Bada (pemain sayap), Muhammad Ariff Farhan (pemain tengah), Mohamad Fandi Othman (pertahanan kiri) dan Mohd Farhan Abu Bakar (penjaga gol).

Malah, bagi memastikan ketiadaan Safee Sali yang tidak lagi bersama pasukan musim depan tidak dirasai, pengendali Datuk K Rajagobal berjaya memancing pemenang Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2018 (ABK18) kategori penjaring terbanyak pemain tempatan Liga Super, Shafiq Shaharudin untuk mengisi kekosongan itu.

Bagaimanapun, nama pemain kebangsaan yang bersama skuad kendalian Tan Cheng Hoe ketika ini tidak diumumkan dan hanya akan dimaklumkan selepas berakhirnya kempen Piala AFF nanti.

Begitupun, menurut sumber yang boleh dipercayai, bekas tonggak Kedah, Akram Mahinan adalah calon yang dimaksudkan untuk mengisi bahagian di posisi tengah bertahan.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan kelab itu juga, empat kuota import turut akan diumumkan kemudian selepas Romel Morales Ramirez saja dikekalkan daripada skuad musim lalu.

"Pengurusan PKNS FC telah melakukan persiapan rapi bagi menghadapi musim 2019 dengan merekrut beberapa pemain yang sesuai mengikut falsafah dan taktikal Datuk K Rajagobal.

"Proses perundingan dijalankan secara teliti bagi menghormati kontrak pemain dengan pasukan asal.

"Dengan kemasukan tujuh pemain baru dan 11 pemain yang dikekalkan serta empat pemain import menjadikan skuad Liga Super PKNS FC mempunyai 21 pemain," kata kenyataan itu.

Malah, untuk memastikan produk dari Akademi PKNS FC diberi peluang merasai bahang saingan liga utama negara, beberapa pemain berpotensi daripada Piala Belia dan Presiden akan dinaikkan pangkat antaranya pertahanan tengah skuad bawah 19 negara, Shivan Pillay Asokan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 1:32 PM