Kento akan beraksi pada Masters Malauysia. FOTO HM Digital
Helmi Talkah

 

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, Kento Momota antara yang mengesahkan penyertaan bagi beraksi pada saingan Masters Malaysia, bulan depan.

Selain bintang sensasi Jepun itu, pemain perseorangan wanita nombor satu dunia dari Taiwan, Tai Tzu Ying dan beregu lelaki nombor satu dunia, Marcus Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo (Indonesia) turut akan menyerikan kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 500 berkenaan.

Juara bertahan dalam perseorangan lelaki, Viktor Axelsen dari Denmark juga bakal beraksi bagi mempertahankan gelaran dimenanginya tahun lalu.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata dengan kehadiran pemain utama dunia pada kejohanan itu, ia dianggap medan terbaik buat barisan pemain muda negara membuktikan kemampuan mereka.

“Bukan saja peminat tempatan dapat menyaksikan kehebatan pemain utama dunia tetapi ini adalah peluang buat pemain muda kita untuk memberi cabaran hebat kepada jaguh dunia.

“Saya yakin dengan sokongan peminat tempatan, ia akan memberi inspirasi kepada pemain muda negara.

“Kalau dulu kita hanya bergantung kepada bekas Olimpian kita tetapi kali ini dengan adanya pemain muda seperti Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Vivian Hoo-Yap Cheng Wen selain Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) saya percaya mereka mampu menggalas tanggungjawab ini.

“Kita rasa 2019 adalah masanya untuk melihat kebangkitan prestasi pemain muda kita,” kata Norza pada sidang media pra kejohanan di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara, hari ini.

Turut hadir wakil penaja utama Masters Malaysia, Pengurus Besar Jabatan Luar Negara Daihatsu Motor Co Ltd, Ichiro Otaki dan Pengarah Urusan Pemasaran Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin.

Saingan Masters Malaysia akan bermula 15 hingga 20 Januari depan di Arena Axiata Bandar Sukan Kuala Lumpur.

Edisi ke-11 itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$350,000 (RM1.4 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 4:29 PM