Faizal nafi PAFA tamat kontrak tiga pemain Brazil. FOTO ABDULLAH YUSOF
Zahratulhayat Mat Arif


IPOH: Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) menafikan persatuan itu menamatkan kontrak tiga pemain import dari Brazil dan kini giat mencari pemain import baharu.

Menteri Besar yang juga Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata berita tersebar melalui media sosial mengenai dakwaan itu tidak benar.

“Saya kira ini (pemain import) belum lagi diputuskan dan kalau mengikut apa yang saya tahu, tiga pemain ini dikekalkan. Saya tidak tahu berita ini dari mana dan ini semestinya ia bukan dari PAFA,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Berkhatan di Taman Meru 2C di sini, hari ini.

Ahmad Faizal yang baharu disahkan sebagai Presiden PAFA pada Kongres Luar Biasa (EGM) persatuan itu malam tadi, mengulas status yang viral di media sosial sejak semalam kononnya trio Brazil, Gilmar Jose Da Silva Filho, Wander Luiz dan Leandro Dos Santos tidak disambung kontrak mereka, sekaligus Perak akan mencari tiga pemain import baharu termasuk dua dari Asia.  

Ahmad Faizal berkata, PAFA kini giat menyenaraikan pemain pada musim akan datang kerana nama pemain perlu diserahkan pada 21 Disember ini.

Ditanya mengenai perasaannya berhubung pemilihannya sebagai presiden baharu PAFA, Ahmad Faizal berkata, beliau dengan penuh rendah diri mengajak semua ahli gabungan dalam Exco PAFA untuk sama-sama mengekalkan momentum kejayaan Perak untuk terus berjuang dalam musim akan datang.

“Jawatan sekarang berkuatkuasa sehingga tahun 2021. Saya fikir, ini tanggungjawab berat tetapi saya yakin dengan bantuan Exco dan timbalan presiden, ini dapat bantu saya untuk mengemudi PAFA dalam penggal ini.

“Saya juga yakin jawatan yang diberikan ini tidak akan memberi masalah dalam mentadbir kerajaan negeri kerana setiap daripada kita mempunyai peranan masing-masing.

"Selaku presiden, saya akan pastikan sumbangan dan tajaan dapat ditingkatkan supaya dapat menjaga pasukan dengan lebih baik,” katanya.  

NSTP malam tadi melaporkan Ahmad Faizal dipilih sebulat suara sebagai Presiden baharu pada EGM PAFA, menggantikan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Negeri negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang mengumumkan peletakan jawatannya. 

EGM itu juga sebulat suara memilih Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman sebagai Timbalan Presiden baharu bagi menggantikan Datuk Adly Shah Ahmad Tah yang turut meletakkan jawatannya sebelum ini. 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 8:01 PM