De Jong hampir pasti sertai PSG. FOTO REUTERS
AFP

THE HAGUE, Belanda: Paris Saint-Germain (PSG) boleh mengecewakan Manchester City dengan menandatangani pemain tengah Ajax dan Belanda, Frenkie de Jong dengan rekod 75 juta euro (RM355.77 juta), lapor akhbar tempatan di sini, hari ini.

“Hampir pasti De Jong, 21, akan meninggalkan Ajax untuk Paris Saint-Germain,” lapor akhbar tabloid popular Belanda De Telegraaf.

Jika perjanjian itu menjadi kenyataan, ia akan menjadi “perpindahan paling mahal dan sensasi dalam sejarah Eredivisie dan Ajax,” kata akhbar berkenaan.

Gerakan PSG untuk mendapatkan pemain tengah berbakat itu, yang membuat penampilan sulung bersama Ajax dua tahun lalu hadir selepas wujud campur tangan Pengarah Teknikal kelab gergasi Perancis itu, Maxwell dan Antero Henrique.

Pegawai-pegawai utama PSG bertemu ejen De Jong, Ali Dursun dan pengurusan Ajax, di Arena Johan Cruijff, semalam, lapor De Telegraaf .

Perbincangan di antara Ajax dan Manchester City dipercayai sudah mencapai ke tahap seterusnya selepas De Jong menghabiskan beberapa jam berbincang dengan pengurus City, Pep Guardiola.

Tetapi juara Inggeris itu “mahu menjalankan perniagaan pada masa yang berikutnya dan PSG dengan pantas menyambar peluang,”  tulis akhbar berkenaan.

“Jersi berwarna biru pekat juara Perancis, PSG, bukannya jersi warna biru muda milik Manchester City, hampir pasti menjadi destinasi musim panas De Jong seterusnya.”

Ajax mengesahkan kepada akhbar harian berkenaan yang perbincangan dengan PSG sedang berjalan sekali pun mereka menambah “tiada sebarang persetujuan yang konkrit... dengan kelab-kelab lain turut menunjukkan minat.”

Perpindahan tertinggi yang dibayar setakat ini bagi liga teratas Belanda ialah tahun lalu apabila pemain tengah Colombia, Davinson Sanchez berpindah dari Ajax ke kelab Inggeris, Tottenham Hotspur dengan nilai 40 juta euro (RM189.74 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 10:21 PM