KLOPP meraikan kemenangan Liverpool bersama Salah. FOTO Reuters
KLOPP meraikan kemenangan Liverpool bersama Salah. FOTO Reuters
AFP

BOURNEMOUTH: Jurgen Klopp menghambur pujian terhadap Mohamed Salah yang meledak hatrik ketika menewaskan Bournemouth 4-0, malam tadi sekali gus membawa Liverpool ke puncak Liga Perdana Inggeris.

Bintang Mesir itu membuka tirai jaringan pada pertengahan babak pertama selepas penjaga gol Bournemouth, Asmir Begovic gagal menampan kemas bola rembatan deras Roberto Firmino.

Dia kemudian menggandakan kelebihan Reds tiga minit selepas babak kedua bersambung menerusi penyudah menarik.

Selepas jaringan sendiri Steve Cook, penyerang licik itu melengkapkan jumlah jaringan dengan meledak gol ke-10 miliknya dalam kempen liga musim ini .

Kemenangan itu membawa Liverpool ke tangga teratas Liga Perdana dengan kelebihan satu mata di atas Manchester City yang dijadual bertemu Chelsea pada awal pagi nanti dengan Klopp menggambarkan prestasi Salah sebagai “cemerlang.”

“Dia beraksi dengan cukup cemerlang pada keseluruhan permainan, bukan saja untuk gol yang dijaringkan,” kata Klopp kepada BBC.

“Dia mahu membantu dengan larian dari belakang dan jaringan tiga gol itu adalah sesuatu yang penting buatnya dan juga kami.”

Liverpool bakal mengharungi minggu yang sukar - beraksi menentang Napoli dalam kempen Liga Juara-Juara, Rabu ini dalam usaha untuk mara ke peringkat kalah mati saingan elit Eropah itu sebelum bertemu Manchester United.

“Ia sentiasa menjadi minggu yang penting,” kata pengendali dari Jerman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 1:09 AM