AKSI akrobatik Torreira yang menewaskan penjaga gawang Huddersfield Town Jonas Lossl di Stadium Emirates, awal pagi hari ini. FOTO Reuters

LONDON: Granit Xhaka berjenaka Lucas Torreira mahu menjadi seperti Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette selepas pemain Uruguay itu meledak gol akrobatik cantik ketika Gunners menewaskan Huddersfield Town 1-0, semalam.

Jaringan Torreira pada minit ke-83 perlawanan di Emirates itu membantu Gunners mendaki ke kedudukan empat terbaik Liga Perdana Inggeris dan meneruskan deretan tanpa kalah kepada 21 dalam semua kejohanan.

Sekali pun jurulatih, Unai Emery menyenaraikan Aubameyang dan Lacazette dalam kesebelasan utama, namun gol yang dinanti-nantikan Gunners hadir menerusi Torreira yang sebelum ini membuka akaun gol ketika bertemu Tottenham, minggu lalu.

“Saya fikir dia mahu menjadi seperti Aubameyang atau Lacazette!” kata Xhaka kepada BBC Sport.

“Ia adalah gol yang penting untuk keseluruhan pasukan kerana ia tidak mudah.”

Tiga hari selepas Arsenal mencatat keputusan seri di Manchester United, Xhaka mengakui pemain gembira mereka berjaya mengutip tujuh daripada sembilan mata maksimum dalam tempoh tujuh hari.

“Ia minggu yang sempurna untuk kami,” katanya.

“(Menang dengan) Tottenham di gelanggang sendiri, (seri dengan) Manchester United di tempat lawan, saya fikir ia sempurna untuk kami.

“Masih banyak yang kami perlu tingkatkan, sudah tentu, tetapi kami boleh gembira. Ia tidak normal untuk mengharungi 21 perlawanan tanpa kalah. Kami percaya sejak daripada minit pertama hingga terakhir dan pada akhirnya, kami menonjolkan karektor yang baik.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 8:46 PM