KAPTEN Tottenham Hotpsur, Hugo Lloris meraikan kejayaan mara pusingan kedua selepas terikat 1-1 dengan Barcelona di Stadium Nou Camp. FOTO Reuters
AFP

BARCELONA: Kapten Tottenham, Hugo Lloris menegaskan mereka berhak mara ke pusingan kedua Liga Juara- Juara selepas terikat 1-1 menentang Barcelona, sebentar tadi.

Spurs melepasi saingan peringkat Kumpulan B, selepas Inter Milan hanya mampu seri 1-1 dengan PSV Eindhoven.

Inter dan Spurs berkongsi lapan mata, tetapi wakil kelab England itu berada di kedudukan kedua di belakang Barca berdasarkan perbezaan jaringan gol.

Dalam pertembungan tadi, Barca mendahului di Camp Nou menerusi ledakan Ousmane Dembele seawal minit ketujuh, sebelum Lucas Moura menyamakan kedudukan pada minit ke-85.

"Kami tidak menang, namun layak. Itu paling penting. Semangat sangat tinggi. Kami berhak," kata Lloris.

"Benar kami mendapat bantuan PSV, ia sukar selepas jaringan awal, namun kami kekal berdisiplin dan mempamerkan persembahan yang sangat bagus."

Penyerang, Harry Kane memuji kesabaran rakan sepasukannya ketika menentang juara La Liga berkenaan yang meletakkan pemenang lima kali Ballon d'Or, Lionel Messi di bangku simpanan.

"Kami mempunyai beberapa peluang, ia tidak menghasilkan jaringan, namun kami teruskan dan akhirnya berjaya. Kami masih terus mencuba untuk menambah jaringan," kata Kane.

Pengurus Spurs, Mauricio Pochettino juga senada dengan penyerang dan kaptennya.

"Saya sentiasa percaya adalah mustahil untuk menang di sini. Kami berhak untuk mara ke pusingan kedua bersama Barcelona. Kami kedua terbaik dalam kumpulan yang sukar."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 8:53 AM