PEMAIN Inter Milan, Mauro Icardi (tengah) meninggalkan padang selepas terikat 1-1 dengan PSV Eindhoven. FOTO AFP

MILAN: Inter Milan tersingkir daripada Liga Juara-Juara selepas diikat 1-1 oleh PSV Eindhoven di San Siro, dengan pesaing Kumpulan B, Tottenham Hotspur turut mengutip satu mata ke atas Barcelona.

Kelab Serie A itu perlu mengatasi keputusan Spurs di Camp Nou untuk memintas kelab Liga Perdana Inggeris berkenaan dalam perebutan ke pusingan kalah mati.

Skuad kendalian Luciano Spaletti seakan-akan sudah mengesahkan tempat apabila kapten pasukan, Mauro Icardi meraikan perlawanan ke-200 untuk kelab dengan jaringan penyamaan pada minit ke-73, selepas Hirving Lozana membuka jaringan pada minit ke-13.

Ketika itu, Spurs pula ketinggalan satu gol di Barcelona.

Bagaimanapun, Lucas Moura menyamakan kedudukan untuk Spurs, membolehkan pasukannya mara ke kelompok 16 terakhir berdasarkan jaringan di tempat lawan ketika tewas 2-1 di San Siro.

Inter tewas 0-1 di Tottenham, dan kelab Inggeris itu menamatkan saingan di tangga kedua di belakang Barcelona berdasarkan rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan.

“Kami menjadi gemuruh, kerap hilang bola, gagal mengikut taktikal dan mula tertekan,” kata Spalletti. “Kami mengharungi perlawanan seperti yang diharapkan, tetapi tidak memanfaatkan peluang yang ada. 

“Ketika semangat semakin memuncak, anda kehilangan punca untuk mengawal permainan. Kami sepatutnya lebih seimbang, tetapi sebaliknya membiarkan tekanan menguasai kami, (dipengaruhi) oleh suasana penyokong.

“Bagaimana anda mahu menyembunyikan keputusan lawan anda?. Penyokong bersorak.” 

Spalletti merujuk kepada ulang tayang gol aksi Tottenham dan Barcelona yang turut disiarkan di San Siro. – AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 10:39 AM