PEMAIN Napoli Arkadiusz Milik melakukan percubaan. FOTO/REUTERS
AFP

LONDON: Virgil Van Dijk percaya Liverpool boleh memanfaatkan ujian getir berdepan Napoli dalam kempen Liga Juara-Juara sebagai batu loncatan untuk menjulang trofi elit Eropah itu.

Skuad kendalian Jurgen Klopp menempah tiket ke peringkat 16 terbaik selepas menang 1-0 dalam aksi penuh getir berdepan Napoli di Anfield, awal pagi semalam.

Penyudah sempurna daripada penyerang sensasi Mohamed Salah menghadiahkan Liverpool kemenangan berharga berkenaan tetapi pasukan itu turut mengharapkan aksi cemerlang penjaga gol, Alisson Becker bagi menafikan cubaan Arkadiusz Milik pada minit-minit terakhir permainan sebelum boleh menarik nafas lega.

Liverpool turut menghuni tangga teratas Liga Perdana Inggeris selepas mengharungi kempen tanpa kalah dalam 16 perlawanan musim ini sekali gus meningkatkan prospek menjulang gelaran itu yang kali terakhir dimenangi pada 1990 selain kejuaraan keenam di pentas Eropah.

Justeru, pertahanan Belanda Van Dijk melihat tiada sebarang lagi alasan mengapa Liverpool tidak boleh menjulang trofi Liga Juara-Juara musim ini selepas tumbang di pentas final kepada Real Madrid, musim lalu.

“Ia sesuatu yang kami semua mahukan, ia adalah sesuatu yang kami semua berikan segala-galanya,” kata Van Dijk. “Kami mahu bermain di tahap yang tertinggi dan Liga Juara-Juara, selain dari Liga Perdana bagi kami, adalah yang tertinggi.

“Kami mahu mencapai tahap yang maksimum dan berharap untuk melakukan lebih baik berbanding tahun lalu di Liga Juara-Juara. Kamu perlu mempunyai impian, kamu perlu pergi memburunya, jika tidak apakah alasan untuk kamu menjadi pemain bola sepak.

“Ia adalah masa yang hebat untuk menjadi peminat atau pemain Liverpool. Ia sukar tetapi kami menikmatinya dan juga menghargainya. Ini adalah hari di mana kamu mahu mempunyai pengalaman sebagai pemain bola sepak dan kami adalah seperti itu.”

Liverpool hanya melepaskan enam gol dalam kempen liga musim ini dan selepas beberapa persembahan kurang meyakinkan di pentas Eropah sebelum ini, mereka berjaya menyamainya ketika berdepan Napoli.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 12:45 AM