X
JURUCAKAP Persatuan Bolasepak Afrika Selatan, Dominic Chimhavi. FOTO Agensi
JURUCAKAP Persatuan Bolasepak Afrika Selatan, Dominic Chimhavi. FOTO Agensi
AFP

JOHANNESBURG: Afrika Selatan sudah mengemukakan bidaan rasmi untuk menggantikan Cameroon sebagai tuan rumah Piala Negara-Negara Afrika 2019, dedah jurucakap Persatuan Bolasepak Afrika Selatan, Dominic Chimhavi.

‘Kami sudah mengemukakan dokumen tawaran,’ balasnya kepada soalan kiriman emel daripada AFP.

‘Ia kini terserah kepada CAF untuk memutuskannya (siapa yang menjadi tuan rumah Piala Negara-Negara Afrika 2019).

Terdahulu, sebelum itu Mesir juga sudah bersedia untuk menganjurkan kejohanan dwitahunan terbesar negara Afrika itu, selepas Maghribi secara tiba-tiba mengumumkan mereka tidak mahu mengemukakan bidaan.

Maghribi menjadi pilihan utama untuk menjadi tuan rumah Piala Negara-Negara Afrika selepas kali terakhir diberi hak pada edisi 1988.

Sebelum ini, status tuan rumah temasya itu kosong, selepas hak Cameroon ditarik balik oleh badan induk bola sepak Afrika apabila wujud dakwaan berlaku kelewatan persiapan dan isu keselamatan.

Tarikh tutup untuk mengemukakan bidaan bagi menggantikan Cameroon akan dibuat di Senegal pada 9 Januari depan.

Afrika Selatan menyatakan minat pada minggu lalu untuk menjadi tuan rumah Piala Negara-Negara Afrika buat kali kedua dalam tempoh enam tahun.

Jika terpilih, ia kali ketiga mereka menggantikan negara lain sebagai tuan rumah kepada kejohanan yang kali pertama dipertandingkan di Sudan 61 tahun lalu.

Piala Negara-Negara Afrika 2019 menjadi edisi sulung membabitkan pertarungan 24 pasukan, kerana sebelum ini hanya 16 pasukan bertanding termasuk pada edisi tahun lalu di Gabon, yang dimenangi Cameroon.

Daripada segi jadual, turut berlaku perubahan waktu dengan kejohanan itu menginjak daripada Januari-Februari kepada Jun-Julai untuk mengelak bertembung dengan aksi liga kelab.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 10:11 AM
Digital NSTP Subscribe